MOSTI iktiraf lima saintis muda cemerlang ASMN 2026

Lih Kang (empat dari kiri) bersama penerima Anugerah Saintis Muda Negara Tahun 2026 pelbagai kategori pada Majlis Penyampaian ASMN 2026 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.
Lih Kang (empat dari kiri) bersama penerima Anugerah Saintis Muda Negara Tahun 2026 pelbagai kategori pada Majlis Penyampaian ASMN 2026 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.
A
A
A

SERDANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengiktiraf lima penyelidik cemerlang menerusi Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026 sebagai usaha menghargai sumbangan saintis muda dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang telah hadir dan menyampaikan anugerah kepada pemenang ASMN 2026 pada Majlis Penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, baru-baru ini.

MOSTI dalam satu kenyataan memaklumkan, ASMN merupakan platform pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada saintis dan penyelidik berusia bawah 40 tahun yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menghasilkan inovasi berimpak tinggi kepada masyarakat, industri dan negara.

Lih Kang menyampaikan Anugerah Saintis Muda Negara 2026 bagi Kategori Biologi kepada Profesor Madya Dr Nadiah Abu dari UKM pada Majlis Penyampaian ASMN 2026 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.
Lih Kang menyampaikan Anugerah Saintis Muda Negara 2026 bagi Kategori Biologi kepada Profesor Madya Dr Nadiah Abu dari UKM pada Majlis Penyampaian ASMN 2026 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

“Bagi edisi 2026, lima kategori dipertandingkan iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Industri.

“Penerima kategori Biologi ialah Profesor Madya Dr Nadiah Abu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala kategori Fizik dimenangi Ts Dr Chen Ruey Shan, juga dari UKM.

“Kategori Kimia pula dimenangi Profesor Madya Ts ChM Dr Noorfatimah Yahaya dari Universiti Sains Malaysia (USM), sementara kategori Kejuruteraan disandang Profesor Madya Ir Ts Dr Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi Petronas (UTP),” kata MOSTI.

Bagi Kategori Industri, anugerah diberikan kepada Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan daripada Visionlytics Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

"Kepelbagaian bidang kepakaran yang diiktiraf menerusi ASMN 2026 membuktikan kemampuan saintis muda negara menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu menangani pelbagai cabaran semasa.

“Antara penyelidikan yang diketengahkan melibatkan penggunaan extracellular vesicles dalam rawatan kanser kolorektal, pembangunan bahan komposit berasaskan sisa pertanian dan polimer kitar semula, teknologi membran untuk pengesanan antibiotik, aplikasi kejuruteraan pengkomputeran bagi tenaga bersih serta sistem pengurusan pengeluaran pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI),” kata MOSTI.

MOSTI berkata, setiap penyelidikan tersebut mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada inovasi yang memberi nilai tambah kepada masyarakat, industri dan ekonomi negara.

Pengenalan Kategori Industri pada tahun ini turut memperkukuh peranan ASMN dalam mengiktiraf kejayaan penyelidik yang berjaya membawa hasil penyelidikan ke peringkat aplikasi, penggunaan dan pengkomersialan.

Lih Kang menyampaikan Anugerah Saintis Muda Negara 2026 Kategori Kimia kepada Profesor Madya CHM Dr Noorfatimah Yahaya dari Universiti Sains Malaysia.
Lih Kang menyampaikan Anugerah Saintis Muda Negara 2026 Kategori Kimia kepada Profesor Madya CHM Dr Noorfatimah Yahaya dari Universiti Sains Malaysia.

Langkah itu selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai pencipta teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Inisiatif ASMN juga menyokong pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta kerangka Malaysia Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE) 10-10 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan penghasilan inovasi berimpak tinggi.

MOSTI berkata, pembangunan bakat STI akan terus diperkukuh melalui penyediaan ekosistem kondusif, pembiayaan penyelidikan yang lebih berfokus serta kerjasama strategik melibatkan kerajaan, institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan dan industri.

Sehubungan itu, kementerian menggalakkan lebih ramai saintis serta penyelidik muda tampil mengetengahkan hasil penyelidikan masing-masing dan menyertai pencalonan ASMN pada masa hadapan bagi terus memperkasakan landskap STI negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!