YTN bimbing murid kuasai 3M, bina keyakinan diri

Shahrulnizam (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed (tujuh dari kanan) ketika penyampaian hadiah kepada peserta program Spark 3M Tahun 2026 pada Khamis.
Shahrulnizam (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed (tujuh dari kanan) ketika penyampaian hadiah kepada peserta program Spark 3M Tahun 2026 pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Yayasan Tenaga Nasional (YTN) meneruskan komitmen memperkasa pendidikan negara menerusi penganjuran Program Spark 3M 2026 di Terengganu.

Program itu membuktikan YTN bukan sekadar tertumpu pada pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang, malah turut menitikberatkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak di bangku sekolah rendah.

Program berteraskan intervensi awal itu dirangka bagi menyokong inisiatif kerajaan memastikan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan kukuh menerusi pendekatan sokongan berfokus serta pembelajaran menyeronokkan, selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Bagi edisi tahun ini, Program Spark 3M di Terengganu melibatkan 120 murid sekolah rendah Tahun Dua hingga Tahun Enam yang menghadapi masalah penguasaan 3M, manakala 70 mahasiswa tajaan YTN bertindak sebagai fasilitator dan tenaga pengajar.

Seramai 70 mahasiswa tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) berganding bahu sebagai fasilitator pada Program Spark 3M Tahun 2026 yang diadakan selama empat hari tiga malam di Kuala Terengganu.
Seramai 70 mahasiswa tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) berganding bahu sebagai fasilitator pada Program Spark 3M Tahun 2026 yang diadakan selama empat hari tiga malam di Kuala Terengganu.

Pengarah YTN, Shahrulnizam Md Nur berkata, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membolehkan pelaksanaan intervensi secara berfokus mengikut negeri selepas kejayaan program sama di Selangor tahun lalu.

“Selaras dengan visi YTN iaitu Nurturing Future Leaders dan Transforming Lives Through Excellent Education Opportunities, kami cuba mengubah masa depan anak-anak Malaysia melalui pendidikan kerana kami percaya ia adalah kunci utama kemajuan negara.

“Sebelum ini, YTN dikenali sebagai pemberi biasiswa kepada pelajar cemerlang, namun kami juga berasa bertanggungjawab membantu dan meningkatkan taraf hidup pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam penguasaan 3M,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap kemahiran asas berkenaan tidak lagi menjadi halangan kepada peserta untuk menguasai ilmu pengetahuan, selain menaruh harapan agar mereka berpeluang menjadi pelajar tajaan YTN pada masa depan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, seterusnya berkhidmat untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan negara.

Sebahagian daripada 120 peserta Program Spark 3M Tahun 2026 khusyuk menadah tangan mengaminkan bacaan doa.
Sebahagian daripada 120 peserta Program Spark 3M Tahun 2026 khusyuk menadah tangan mengaminkan bacaan doa.

“Harapan kami agar anak-anak dapat menguasai asas membaca, mengira dan menulis. Kami juga berharap tidak mustahil suatu hari nanti mereka menjadi pelajar tajaan YTN untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Mungkin kita boleh menghantar mereka belajar di luar negara sebagai pelajar tajaan YTN sebelum kembali berkhidmat untuk TNB dan negara,” ujarnya.

Intervensi berfokus tingkat penguasaan 3M

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Tengku Norma Tengku Mansor menyifatkan program berkenaan sebagai istimewa kerana menghimpunkan murid pemulihan khas dari seluruh negeri untuk menjalani intervensi secara berfokus di stesen pembelajaran yang disediakan.

Peserta program menunjukkan keyakinan tinggi apabila berani menjawab soalan dan berinteraksi secara aktif sepanjang Program Spark 3M Tahun 2026.
Peserta program menunjukkan keyakinan tinggi apabila berani menjawab soalan dan berinteraksi secara aktif sepanjang Program Spark 3M Tahun 2026.

“Usaha YTN ini lebih meluas dengan melibatkan seluruh negeri Terengganu serta menyediakan kemudahan terbaik termasuk penginapan, makanan dan keselamatan.

“JPN melihat model kerjasama ini wajar diperluas ke negeri lain kerana ia seiring dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2027-2035 bagi merapatkan jurang literasi dan numerasi pada akhir Tahap Satu,” ujarnya.

Pandangan itu disokong Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tempurung, Raja Shazwani Raja Mohamad yang berkata, murid pemulihan bukan sahaja berdepan isu kognitif, malah turut dipengaruhi faktor persekitaran seperti penggunaan dialek tempatan.

“Dengan aktiviti menarik, peruntukan besar serta interaksi menggunakan bahasa standard bersama abang dan kakak fasilitator, murid-murid ini terbukti mampu pulih seperti murid biasa dan lebih yakin berkomunikasi menjelang hari kedua program,” katanya.

Bagi fasilitator program, Muhammad Firas Riza Hadafi, 19, yang merupakan pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Tenaga (Kepujian) di Universiti Tenaga Nasional (Tenaga University) dan penerima PRIME Scholarship YTN, segala penat lelah mengendalikan peserta berbaloi apabila melihat keterujaan mereka menyertai pelbagai aktiviti didik hibur di lapan stesen berbeza.

Peserta aktiviti didik hibur teruja sepanjang Program Spark 3M Tahun 2026 sekaligus membuktikan pendekatan santai dan ceria mampu memupuk semangat serta membina keyakinan baharu dalam penguasaan kemahiran 3M.
Peserta aktiviti didik hibur teruja sepanjang Program Spark 3M Tahun 2026 sekaligus membuktikan pendekatan santai dan ceria mampu memupuk semangat serta membina keyakinan baharu dalam penguasaan kemahiran 3M.

“Walaupun penat mengawal murid, segala keletihan terbayar apabila melihat keterujaan mereka menyertai aktiviti dari hari ke hari. Antara cabaran utama kami sebagai fasilitator ialah memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan rakan baharu serta menjaga keselamatan mereka apabila mula teruja.

“Bagi memupuk minat mereka, kami dibantu guru-guru berdedikasi dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Terengganu yang mengendalikan lapan stesen aktiviti didik hibur seperti puzzle dan rolling chair. Kaedah ini memastikan peserta kekal fokus mempelajari literasi dan numerasi tanpa berasa bosan,” katanya.

Murid lebih yakin, ibu bapa lihat perubahan positif

Sementara itu, ibu peserta, Norwahida Alias, 44, berkata, anaknya, Nur Alvina Aneisha Mohd Shahril, 11, dari SK Gong Kapas yang sebelum ini pemalu serta lemah dalam membaca dan mengira kini kelihatan lebih ceria, berkeyakinan dan mempunyai ramai kawan.

Senada dengan Norwahida, Muhammad Faiz Zulkipli, 31, turut berpandangan program selama empat hari tiga malam itu dapat mengubah sikap adiknya, Nurul Arika Ibrahim, 10, dari SK Paya Bunga.

“Pada mulanya, adik memang tidak mahu menyertai program ini dan terpaksa dipujuk. Dia mempunyai masalah dalam penguasaan 3M serta kurang bergaul dengan kawan-kawan, tetapi selepas menyertai program ini, saya nampak dia kini lebih yakin,” ujarnya.

Perasaan teruja turut dikongsi peserta, Muhammad Ikram Haikal Muhibuddin, 11, dari SK Amer yang mengakui lebih yakin apabila namanya dipanggil guru untuk membaca di dalam kelas selepas mengikuti program selama empat hari itu.

Peserta program Spark 3M kelihatan tekun memberikan tumpuan ketika menyertai modul pembelajaran dan aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang program.
Peserta program Spark 3M kelihatan tekun memberikan tumpuan ketika menyertai modul pembelajaran dan aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang program.

“Sebelum ini, saya memang susah hendak membaca, tetapi sejak menyertai program ini, saya rasa sangat seronok. Selepas ini, apabila cikgu memanggil saya untuk membaca di kelas, saya berasa lebih yakin dan akan berkongsi pengalaman sepanjang empat hari ini dengan kawan-kawan lain,” katanya.

Bagi Nur Hanis Atiqah Azha, 10, dari SK Pasir Panjang, dia gembira kerana pembelajaran subjek Matematik disampaikan dengan cara menyeronokkan, selain mendapat bimbingan daripada fasilitator yang baik.

“Sebelum ini, subjek yang paling susah bagi saya ialah Matematik kerana saya lemah mengira, tetapi program ini membawa banyak pembaharuan menerusi kaedah pembelajaran yang sangat menyeronokkan.

“Saya dapat ramai kawan baharu, malah abang dan kakak fasilitator semuanya baik,” kongsinya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!