Polis keluar 27 saman lori keluar masuk kawasan kuari

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis mengeluarkan 27 saman setelah memeriksa lori tanah yang keluar masuk di tapak kuari di Jeram, di sini pada Jumaat.

Tindakan itu diambil berikutan terdapat aduan daripada seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik imej tangkap layar memaparkan operasi lori mengangkut tanah di Jeram, Kuala Selangor dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, hasil maklumat tersebut, siasatan dan pemantauan telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Hasil siasatan dan rujukan dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor mendapati, kebenaran telah diberikan bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar, mengalih dan mengangkut bahan batuan (tanah merah) untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan cerun kepada syarikat bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Mohd Ambia berkata, kelulusan juga telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana dikategorikan sebagai 'essential service' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut yang dijalankan PDT Kuala Selangor mendapati kerja-kerja pengeluaran bahan batuan telah melanggar syarat yang ditetapkan oleh MITI berikutan aduan media sosial yang tular pada 1 Jun lalu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, penduduk dua taman mempersoalkan mengenai lebih 80 lori tanah keluar masuk tapak kuari Bukit Cherakah, di sini dalam tempoh sehari walaupun kerajaan telah mengumumkan Sekatan Pergerakan Penuh sejak 1 Jun lalu.

Penduduk Taman Pekerti dan Taman Permai, di sini mendakwa, kenderaan berat terbabit mula menjalankan aktiviti mengangkut tanah bermula jam 4 pagi setiap hari.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk persoal operasi kuari