Penduduk persoal operasi kuari

Penduduk rimas terpaksa melalui jalan berdebu setiap hari walaupun PKP telah dilaksanakan.
Penduduk rimas terpaksa melalui jalan berdebu setiap hari walaupun PKP telah dilaksanakan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk dua taman mempersoalkan mengenai lebih 80 lori tanah keluar masuk tapak kuari Bukit Cherakah di sini dalam tempoh sehari walaupun kerajaan telah mengumumkan Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) atau total lockdown sejak 1 Jun lalu.

Penduduk Taman Pekerti dan Taman Permai di sini mendakwa, kenderaan berat terbabit mula menjalankan aktiviti mengangkut tanah bermula jam 4 pagi setiap hari.

Seorang penduduk di Taman Permai, Mohd Fauzi Jaafar, 45, berkata, timbul tanda tanya dalam kalangan penduduk sama ada lori terbabit mendapat permit atau melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Dalam keadaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi selama 14 hari ini, kita dapati lori terbabit terus menjalankan aktiviti keluar masuk yang mengganggu pengguna jalan raya dan penduduk setempat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Fauzi, penduduk mula naik rimas dengan keadaan itu seolah-olah tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Sepatutnya lori keluar masuk di tapak kuari perlu dihadkan sekiranya dibenarkan sekali pun beroperasi, tetapi kita pelik setiap minit ada sahaja lori melalui jalan berhadapan taman perumahan ini,” ujarnya.

Seorang penduduk Taman Pekerti, Muhammad Zawavi Sairin, 43, mendesak tindakan tegas diambil sekiranya berlaku pelanggaran SOP di tapak kuari berkenaan.

Tegasnya, pemandu lori juga didakwa memandu secara berbahaya dan tidak menghiraukan keselamatan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

“Kita dapati, antara kesalahan dilakukan seperti lori membawa muatan berlebihan, tidak menutup muatan menggunakan kanvas dan tiada kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan selain tahap keselamatan di laluan keluar masuk yang amat rendah,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Tiga Jeram, Mohd Yazid Abdul Ghani pula berkata, perkara terbabit sudah diajukan kepada pihak berkuasa dan pihak berwajib termasuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli.

“Saya sudah membuat aduan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan penduduk di taman perumahan ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji menjelaskan, pihaknya hanya meluluskan tiga syarikat sahaja untuk membuat aktiviti pengalihan bahan batuan (tanah merah) sehingga 4 Jun.

Beliau menegaskan, kebenaran itu diberikan dengan tujuan yang jelas iaitu mengalih dan mengangkat bahan batuan untuk kegunaan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (JSL) sahaja.

“Kelulusan yang dibuat merujuk daripada surat permohonan oleh pihak syarikat terlibat untuk membekal bahan batuan (tanah merah) bagi kegunaan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram yang termasuk dalam essential service.“Kelulusan sebuah syarikat lagi pula diberi untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan cerun dengan merujuk surat pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Beliau memberitahu, semua syarikat terbabit dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh 1 sehingga 14 Jun iaitu dengan hanya membuat aktiviti seperti tujuan yang telah diluluskan sahaja.

“Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana syarikat yang melanggar arahan seperti yang jelas dinyatakan dalam surat kebenaran,” ujarnya.