Polis Johor kesan pihak terbangkan dron di kawasan istana

KAMARUL ZAMAN
KAMARUL ZAMAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang giat mengesan pihak yang bertanggungjawab menerbangkan dron di kawasan istana di negeri ini dipercayai berlaku pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas menerima laporan kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 5 petang itu, Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman telah dipanggil.

"Individu berkenaan menerbangkan dron ke kawasan larangan di Istana Johor. Polis Johor telah memanggil Unit Dron untuk buat pemantauan.

"Kes akan siasat mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan 1959," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Dewan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor di sini, pada Khamis.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dua anakandanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar turut berangkat memeriahkan sambutan.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberi amaran kepada pengguna dron supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak melanggar undang-undang.

Jelasnya, kawasan larangan yang telah digariskan dalam undang-undang seperti lapangan terbang, kawasan istana dan kawasan keselamatan.