Penularan Covid-19 Taman Utama mungkin semasa Aidilfitri

Anggota 22 RAMD memasang kawat berduri (conceritna wire) di sekeliling Taman Utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada Jumaat. -Foto Bernama
Anggota 22 RAMD memasang kawat berduri (conceritna wire) di sekeliling Taman Utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada Jumaat. -Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Penularan Covid-19 di Taman Utama di sini yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kemungkinan berlaku semasa sambutan perayaan Aidilfitri sejak 13 Mei, kata Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan, Wong Foo Tin.

“Ya, ia (penularan) semasa raya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat mengenai punca yang menyebabkan pelaksanaan PKPD di kawasan itu selama 14 hari bermula hari ini.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD diisytiharkan di Lorong Taman Utama 5 ke 8, Taman Utama di sini berikutan peningkatan mendadak kes wabak itu dalam tempoh singkat, dengan sembilan daripada 13 saringan disahkan positif, menjadikan kadar positif sebanyak 69.2 peratus.

Wong yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan tidak menafikan bahawa tuan rumah tidak menyediakan kod MySejahtera untuk tetamu, menyebabkan pihak berkuasa menutup kawasan terbabit yang mempunyai 40 rumah dengan anggaran empat orang serumah, untuk menjalankan ujian saringan.

Menurut beliau, tiada rekod mengenai keberadaan penduduk dalam tempoh 14 hari lepas juga menyebabkan PKPD di kawasan itu dilaksanakan hingga 17 Jun.

Tinjauan Bernama pada Jumaat mendapati, kawasan itu dipagar dan dikawal oleh anggota polis dan tentera serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), manakala pergerakan orang keluar masuk ke kawasan itu sangat terhad. -Bernama

Artikel Berkaitan: