Kajian dapati penularan Covid-19 daripada rusa kepada manusia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LOS ANGELES - Satu kajian baharu mendapati berlaku penularan SARS-CoV-2 daripada rusa kepada manusia hasil analisis sampel yang diambil daripada haiwan itu, lapor Xinhua.

Para penyelidik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) dan Jabatan Pertanian, mengumpul 8,830 sampel pernafasan daripada rusa ekor putih yang hidup bebas dari 26 negeri di AS dan Washington antara November 2021 dan April 2022.

Penyelidik mengenal pasti 282 rusa yang dijangkiti Covid-19 dan 34 keturunan virus yang berbeza dalam sampel, termasuk varian Alpha, Gamma dan Delta yang biasa berlaku sebelum ini dalam pandemik dan varian Omicron yang mendominasi kes baru-baru ini.

Analisis evolusi menunjukkan virus rusa ekor putih ini berasal daripada sekurang-kurangnya 109 limpahan bebas daripada manusia, yang mengakibatkan 39 kes penularan rusa kepada rusa tempatan berikutnya dan tiga kes potensi penularan daripada rusa ekor putih kembali kepada manusia.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature itu, beberapa keturunan SARS-CoV-2 menjadi enzooti dan beredar bersama dalam kalangan rusa ekor putih. - Bernama/Xinhua