Anwar hadir Majlis Madani Aidilfitri JPM, sambutan raya KKM

Anwar (duduk, kiri) hadir pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, pada Rabu. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (duduk tengah) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (duduk kanan). - Foto Bernama

A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di sini.

Beliau yang tiba pada kira-kira jam 12.46 tengah hari disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Turut hadir ke majlis itu ialah menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar meluangkan masa hampir sejam pada majlis itu dan sempat beramah mesra dengan kira-kira 3,000 penjawat awam daripada agensi dan jabatan di bawah JPM sebelum meninggalkan majlis itu.

Anwar Ibrahim diiringi Dr Zaliha beramah mesra dengan hadirin semasa hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada Rabu. - Foto Bernama

Sementara itu, di SERDANG, Anwar turut menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM).

Anwar yang tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), disambut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Suani dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira 40 minit, turut menyantuni warga kerja KKM serta agensi di bawahnya yang hadir pada sambutan Aidilfitri itu.

Kira-kira 7,000 kakitangan kementerian serta tetamu disajikan dengan pelbagai juadah raya antaranya lemang, ketupat dan kambing bakar. - Bernama