Tiada penggambaran video lucah berlaku di Sandakan - Polis

Video penggambaran di sebuah kawasan pantai yang berlatarkan batu di belakangnya yang hampir menyerupai Batu Sapi yang tular di media sosial.
Video penggambaran di sebuah kawasan pantai yang berlatarkan batu di belakangnya yang hampir menyerupai Batu Sapi yang tular di media sosial.
A
A
A

SANDAKAN - Polis Sandakan mengesahkan tiada sebarang kegiatan penggambaran filem lucah berlaku di daerah ini seperti yang didakwa menerusi sebuah video yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, video yang tular itu memaparkan aksi pengambaran filem lucah di sebuah lokasi yang tidak dikenal pasti.

"Lokasi video itu di kawasan tepi pantai yang berlatar belakangkan sebuah batu besar di atas permukaan air laut.

"Polis menyiasat perkara ini dan mendapati tiada sebarang kegiatan pengambaran video lucah yang berlaku di Sandakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Abdul Fuad menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan rakaman video tersebut serta tidak menyimpan sebarang video lucah.

"Ini kerana ia menyalahi undang-undang di negara ini dan boleh di ambil tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang lokasi kejadian ini boleh menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi dua minit 47 saat di aplikasi WhatsApp yang memaparkan kru membuat penggambaran aksi lucah di sebuah kawasan pantai yang berlatarkan batu dibelakangnya yang hampir menyerupai Batu Sapi.