X

Kindly register in order to view this article
!

Air Terjun Lata Y macam 'teh beng'

Keadaan air di Lata Y, Sungai Rek, Kuala Krai seakan ‘teh beng’ tular di laman sosial pada Rabu manakala gambar kanan keadaan asal air di Lata Y yang jernih kebiru-biruan.
A
A

KUALA KRAI - Air terjun Lata Y, Sungai Rek di sini yang terkenal dengan kejernihan airnya yang kebiru-biruan bertukar menjadi seakan-akan ‘teh beng’ (teh ais).

Perubahan wajah Lata Y yang didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan berhampiran Hutan Simpan Sungai Rek di sini tular pada Rabu sehingga mendatangkan kemarahan orang ramai terutama pencinta alam semula jadi.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila ia turut menjejaskan bekalan air bersih lebih 1,000 penduduk di Batu Mengkebang di sini yang menjadikan lokasi itu sebagai kawasan tadahan sumber air menerusi sistem tandak.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut pada Khamis mendapati air di kawasan tersebut tidak lagi sejernih sebagaimana sebelumnya.

Malah menyedihkan lagi apabila terdapat mendapan lumpur pada batu-batu di kawasan lata tersebut sehinggakan airnya menjadi keruh serta warna kebiruannya sudah ‘hilang’.

Seorang pengunjung, Nur Ain Manaf, 26, menunjukkan lumpur yang terdapat di dasar Lata Y, Sungai Rek, Kuala Krai.
Seorang pengunjung, Nur Ain Manaf, 26, menunjukkan lumpur yang terdapat di dasar Lata Y, Sungai Rek, Kuala Krai.

Wakil penduduk yang ingin dikenali sebagai Ismail, 50, berkata, kali terakhir dia datang ke air terjun ini pada hujung Ramadan lalu semasa mencari buluh lemang.

“Pada waktu itu airnya jernih kebiruan seperti biasa malah kami boleh melihat dengan jelas ikan berenang-renang di dasarnya.

“Sehinggalah kami dikejutkan dengan gambar tular pada Rabu yang menunjukkan keadaan air di Lata Y yang sangat keruh seakan-akan teh beng,” katanya ketika ditemui di Lata Y.

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi apabila terdapat banyak lumpur yang mendap di dasar air dan memburukkan Lata Y yang sangat indah sebelum ini.

Ismail berkata, sebagai penduduk di sini, dia sangat kesal dengan apa yang berlaku dan berharap pihak terlibat dapat mengambil tindakan segera demi menjaga keindahan alam.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, keadaan air keruh itu berlaku kemungkinan susulan hujan lebat yang melanda pada Selasa dan kebiasaan ia akan kembali pulih seperti sedia kala selepas cuaca baik.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) bercadang mewartakan kawasan di Hutan Simpan Sungai Rek sebagai kawasan tadahan air.

Menurutnya, cadangan tersebut telah dibincangkan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, bukan itu sahaja, perkara tersebut turut dibincang dengan pegawai-pegawai JPNK untuk membuat kajian semula di kawasan Sungai Rek.

Dalam pada itu, kerajaan Kelantan telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri untuk melakukan siasatan lanjut berhubung gambar yang tular mengenai pencemaran air yang berlaku di Lata Y.

Pejabat Menteri Besar Kelantan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil maklum perkara itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!