Penduduk mengeluh air keruh macam 'teh o', badan jadi gatal

Lee Gee menunjukkan warna air bertukar keruh sejak sebulan lalu sehingga mengganggu tugasan harian penduduk di Taman Seri Duyong Dua, Melaka.
Lee Gee menunjukkan warna air bertukar keruh sejak sebulan lalu sehingga mengganggu tugasan harian penduduk di Taman Seri Duyong Dua, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Penduduk di Taman Seri Duyong Dua, di sini mendakwa mendapat bekalan air keruh sejak sebulan lalu.

Salah seorang penduduk, Gan Lee Gee, 47, berkata, pada mulanya beliau menyangka masalah itu hanya berlaku dalam tempoh sekejap, namun berlarutan sehingga kini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk sukar untuk melakukan tugasan harian seperti mencuci pakaian, memasak dan menyediakan minuman disebabkan air paip bertukar warna seperti 'teh o'.

"Pernah juga rasa pening dan batuk-batuk selepas minum sumber air itu dan terpaksa membeli air mineral.

"Malah, penapis air di luar rumah pula terpaksa tukar tiga hingga empat kali seminggu berbanding hanya sekali sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Duyong Dua di sini pada Ahad.

Pembantu cafe, Intan Aleeya Farhana Razali, 21, mengakui pertama kali menghadapi masalah seperti itu sejak menetap di taman tersebut empat tahun lalu.

Intan Aleeya Farhana menadah air di rumahnya yang didakwa keruh.
Intan Aleeya Farhana menadah air di rumahnya yang didakwa keruh.

Beliau mendakwa turut mengalami gatal-gatal selepas menggunakan bekalan air yang disalurkan rumah sewanya.

"Saya ingatkan air tangki kotor hingga menyebabkan badan gatal-gatal, namun apabila bertanya hal sama pada jiran, mereka turut mengakui dan mengalami gatal-gatal," katanya.

Tambahnya, biarpun kekotoran semakin berkurangan, namun beliau berharap pihak berwajib dapat mencari punca kejadian ini.

Seorang penduduk enggan disiarkan nama turut mengakui bukan sahaja berdepan masalah air kotor di rumah, malah kedai kopi yang diusahakan di Taman Melaka Raya, Banda Hilir turut menerima bekalan air yang agak keruh.

"Saya terpaksa biarkan air mengalir dalam tempoh lama untuk memastikan air keruh itu bertukar sedikit cerah hinggakan bil air meningkat.

"Saya harap kerajaan dapat segera mengatasi masalah ini dan tidak mengambil masa terlalu lama," katanya.

Dalam pada itu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengeluarkan satu kenyataan sebelum ini berlaku gangguan bekalan air luar jangka susulan kerja-kerja pembaikan paip bersaiz 150 milimeter yang bocor berhampiran Jambatan Duyong.