Dibunuh kerana tegur anak jiran buat bising

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Lima individu termasuk suspek utama kes gaduh dan bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui berlumuran darah di tapak pembinaan perumahan Taman Desa Maju Perak, Langkap, di sini, 13 Mei lalu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan ke atas semua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dibuat pada 25 Mei lalu dan direman selama 14 hari bagi siasatan kes.

Menurutnya, siasatan polis mendapati, pergaduhan dalam kejadian itu berlaku akibat rasa tidak puas hati apabila mangsa membuat teguran kepada anak suspek utama yang menunggang motosikal dan membuat bising di kawasan rumah.

"Mangsa dalam kejadian ini bersama suspek utama berusia 34 tahun tinggal dalam kejiranan yang sama dan dia mengaku marah kepada mangsa kerana menegur anaknya membuat bising dengan menunggang motosikal di hadapan rumah mangsa," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 29 tahun sedang minum bersama rakannya di sebuah rumah kedai kosong sebelum tiba-tiba didatangi dua kenderaan dinaiki lapan lelaki yang kemudian menyerang menggunakan parang.

Mangsa yang melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran tapak perumahan di situ meninggal dunia dengan tangan kanan hampir putus manakala dua rakannya berusia 19 dan 25 tahun cedera parah.

Ahmad Adnan berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.

Katanya, pertuduhan ke atas suspek utama akan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 326 dan Seksyen 324 kanun yang sama kerana membunuh mangsa di tempat kejadian dan mendatangkan kecederaan parah kepada rakan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Empat lelaki yang ditangkap bersama suspek utama akan diberikan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan," katanya.