Mayat warga emas berlumuran darah ditemui dalam kereta

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pada Selasa.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai mati dibunuh ditemui dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, makluman itu diterima Pondok Polis Selayang Baru selepas menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.15 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mangsa yang berlumuran darah ditemui di bahagian pemandu dalam kereta jenis Perodua Kancil di kawasan lapang hadapan sebuah pusat beli-belah.

"Pemeriksaan mendapati mangsa berusia lingkungan 70-an dan beralamat di Selayang Baru itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan kecederaan parah di leher," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, turut ditemui di lokasi kejadian satu objek tajam dan mayat mangsa telah dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Zainal Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bertaraf pemastautin tetap di sekitar Selayang Baru.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek telah direman tujuh hari sehingga 16 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau IPD Gombak di talian 03-61262222.