Perlis agih bantuan asas bernilai RM50 tiga hari sekali

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis memperuntukkan RM1.5 juta dalam menyediakan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan dan layak menerima bantuan sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama bermula pada Selasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, bantuan keperluan asas harian bernilai RM50 itu akan diagihkan setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, agihan bantuan akan diuruskan oleh pusat khidmat wakil rakyat atau pusat khidmat Menteri Besar bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Kita agih-agihkan mengikut mekanisme yang bersesuaian di setiap DUN.

Bantuan ini antara inisiatif kerajaan negeri setelah kerajaan Persekutuan umumkan pelaksanaan PKP 3.0 fasa pertama sehingga 14 Jun depan, di mana semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan perlu," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Azlan berkata, bagi mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat daripada pelaksanaan PKP tersebut serta keprihatinan kerajaan negeri, dana RM1.5 juta diperuntukkan serta-merta bagi menjaga kepentingan golongan sasar di negeri ini.

"Saya harap bantuan segera itu akan mengurangkan bebanan hidup golongan memerlukan," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya menyeru rakyat Perlis agar terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

Artikel Berkaitan: