Lembu hidup Thailand berpenyakit, CAP gesa henti import

CAP gesa hentikan import lembu hidup dari Thailand susulan wabak penyakit kulit berbonjol (lumpy skin disease) yang dikesan pada haiwan itu yang diternak dalam kandang. (Gambar kecil: Mohideen)
CAP gesa hentikan import lembu hidup dari Thailand susulan wabak penyakit kulit berbonjol (lumpy skin disease) yang dikesan pada haiwan itu yang diternak dalam kandang. (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia supaya menghentikan segera import lembu hidup dari Thailand ke negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya membuat gesaan itu selepas mendapati laporan media dari Thailand berhubung terdapat wabak penyakit kulit berbonjol (lumpy skin disease) pada haiwan itu yang diternak dalam kandang.

Menurutnya, walaupun penyakit tersebut tidak menjejaskan manusia, penyakit kulit berbonjol merupakan salah satu alasan yang paling ketara bagi pengharaman eksport daging di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Memandangkan rakyat Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Julai ini, haiwan hidup seperti lembu dan kerbau akan diimport ke negara ini untuk sambutan perayaan tersebut.

"Sehubungan itu, CAP menggesa JPV Malaysia supaya menghentikan import lembu dan kerbau hidup dari Thailand dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pihaknya juga meminta JPV Malaysia menjalankan siasatan untuk memastikan penyakit itu tidak menjejaskan lembu dan kerbau tempatan.

"Kita bimbang, jika lembu dan kerbau dari Thailand diimport ke negara ini, penyakit itu boleh menjangkiti haiwan di negara kita kerana ia disebarkan melalui nyamuk, lalat dan kutu," katanya.

Menurut laporan media Thailand, lebih daripada 6,700 ekor lembu dan kerbau di 35 wilayah di negara itu terjejas selepas dijangkiti penyakit kulit berbonjol.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah penyakit berjangkit pada lembu dan kerbau yang disebabkan oleh virus dengan gejala seperti demam, kelenjar limfa membesar dan bintil berganda pada kulit serta membran mukus.

Penyakit itu memberi kesan teruk pada hasil pengeluaran ladang daging dan tenusu, pada masa sama petani juga mengalami kerugian yang besar kerana menanggung kos pengurusan dan rawatan.