Sistem e-Invois: LHDN jawab dakwaan Ka Siong

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) hanya perlu mengisi enam daripada 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois dan maklumat lain akan dipraisi secara automatik.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan berkata, dalam tempoh satu tahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois pada 1 Julai 2025, pihaknya akan mengambil pendekatan secara aktif dalam menjalankan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, LHDN akan turut menyediakan platform, tutorial bimbingan dan panduan pengguna bagi membantu PMKS menggunakan Portal MyInvois.

“Pegawai LHDN di peringkat negeri juga akan turun padang dan mengadakan bengkel dan taklimat di seluruh negara bagi memberi bimbingan dan penjelasan berhubung pelaksanaan e-Invois kepada PMKS,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu mengulas dakwaan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkenaan pelaksanaan e-Invois akan menyusahkan usahawan dan peniaga kecil kerana mereka perlu mengisi 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois.

Jelas kenyataan itu lagi, bagi membantu dan memudahkan pengemukaan e-Invois ini, LHDN menyediakan Portal MyInvois serta Sistem Point of Sales (POS) yang boleh digunakan secara percuma oleh PMKS untuk semua transaksi termasuk sebarang pindaan.

“Pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois kepada PMKS, PMKS tidak perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan tetapi dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada pihak HASiL dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya,” kata kenyataan itu,

Dalam pada itu, LHDN turut menjelaskan bahawa pelaksanaan e-Invois bagi PMKS adalah mulai 1 Julai 2025 dan bukan pada 1 Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos 2024 hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta dan tiada keperluan pada masa ini untuk syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.

“PMKS boleh meneruskan perniagaan seperti amalan biasa dan tidak perlu mengeluarkan e-Invois mulai 1 Ogos 2024 ini,” katanya.

Berkenaan dengan dakwaan Ka Siong bahawa data berpusat e-Invois ini bakal menjadi sasaran penggodam, LHDN ingin menegaskan bahawa kerahsiaan, privasi dan perlindungan data pembayar cukai adalah menjadi keutamaan dalam semua urusan percukaian mahupun e-Invois.

“LHDN mematuhi piawaian antarabangsa melalui pensijilan ISO/IEC 27001; Information Security Management System (ISMS), ISO 223001; Business Continuity Management System (BCMS) dan lain-lain piawaian berkaitan.

“LHDN menjalankan Security Posture Assessment (SPA) secara berkala dengan pihak ketiga yang dilantik termasuklah sentiasa bekerjasama dengan pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan sistem MyInvois berada pada tahap optimum serta mengatasi risiko ancaman penggodam,” jelas kenyataan itu.

Mengenai penalti bagi ketidakpatuhan pelaksanaan e-Invois, LHDN menjelaskan bahawa kadar penalti minimum yang boleh dikenakan adalah RM200 sehingga kadar maksimum RM20,000 dan pengenaan penalti adalah bergantung kepada setiap fakta kes.

“Walau bagaimanapun, LHDN akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada PMKS apabila bermulanya pelaksanaan penuh e-Invois nanti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!