X

Kindly register in order to view this article
!

Harussani disegani rakyat, disenangi jiran

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A

IPOH - Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria bukan sahaja dihormati dan disegani rakyat malah kepimpinannya amat disenangi jiran tetangga di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini.

Perkara itu dikongsi Putera Iszrin Shah Mohd Isak, 52, yang menyifatkan Allahyarham seorang yang berhati luhur dan sangat memuliakan jiran tetangga.

Menurutnya, mendengar sahaja keluh kesah dan kesusahan komuniti di kejiranannya, Allahyarham tampil menjadi individu pertama membantu sehingga masalah yang dihadapi selesai.

"Kalau tak silap saya Allahyarham dan keluarga berpindah ke kampung ini sekitar 1985 ketika mula dilantik menjadi Mufti Perak.

"Pada awal dulu banyak masalah timbul isu tanah, rumah dan sebagainya yang dihadapi penduduk termasuk ibu saya sendiri, tetapi Alhamdulillah semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan Allahyarham," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Beliau berkata, Allahyarham juga tidak pernah berkira membantu penduduk yang berdepan kesusahan dan sentiasa bermurah hati menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Rumah ibu saya dulu asalnya rumah pusaka, banyak dinding dah reput, dengan bantuan Allahyarham, kami dapat baik pulih rumah agar lebih selesa untuk didiami," katanya.

Putera Iszrin Shah
Putera Iszrin Shah

Dia yang bersahabat baik dengan seorang daripada anak lelaki Harussani berkata, saat paling manis dikenang apabila setiap kali Syawal, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke kediaman Allahyarham untuk ziarah.

"Masa tu keadaan jalan kampung macam laluan VVIP (orang kenamaan), penuh polis sana sini, kita yang berjiran akan melambai tangan kepada Sultan Nazrin," katanya.

Putera Iszrin berkata, ketika sihat, Allahyarham sangat aktif dalam program komuniti dan mengimarahkan masjid di kawasan kampung itu.

"Hubungan kejiranan di sini dengan Allahyarham sudah jadi seperti satu keluarga besar.

"Pemergian Allahyarham seolah meragut separuh kegembiraan kami di sini. Kami bangga kerana dalam kampung ini ada seorang tokoh yang tinggi darjatnya dan disegani semua pihak," katanya.

Harussani, 82, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 2.45 petang pada Ahad.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Perak meninggal dunia

Hujan renyai iringi pengebumian Tan Sri Harussani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!