JAINJ tangguh majlis nikah, kenduri, kursus kahwin

Urusan nikah, cerai dan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh Johor ditangguhkan susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara. - Foto 123RF
Urusan nikah, cerai dan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh Johor ditangguhkan susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara. - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangguhkan urusan majlis akad nikah sepanjang tempoh 'total lockdown'.

Pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsuddin berkata, kenduri kahwin serta kursus pra perkahwinan Islam secara bersemuka turut ditangguhkan.

"Penangguhan termasuk perkhidmatan kaunter bagi permohonan kebenaran berkahwin, pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan pendaftaran pengesahan perkahwinan dan poligami, pengambilan dokumen serta kad perakuan nikah.

"Arahan tersebut dikeluarkan dalam pekeliling Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah JAIJN," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, bagi yang dijadualkan melalui janji temu untuk melaksanakan urusan-urusan nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah, penjadualan semula urusan tersebut akan dilaksanakan.

Bagi yang ingin mendirikan rumah tangga dalam tempoh itu, beliau meminta pasangan terbabit supaya bersabar dan memperbanyak ibadah puasa.

Namun katanya, bagi perkhidmatan berkaitan nikah, cerai dan rujuk yang dilaksanakan secara atas talian menerusi sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) http://www.sppim.gov.my masih dilaksanakan.

"Antara yang dibenarkan ialah permohonan kebenaran nikah (Benar Nikah Online), kursus pra perkahwinan Islam secara maya, aduan dan proses tentang proses kebenaran berkahwin serta perkhidmatan khidmat nasihat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, semua pihak perlu mengambil peranan proaktif untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dalam tempoh pandemik ini, usaha mengekang penularannya daripada tersebar hendaklah diutamakan berbanding perkara lain," katanya.