Hospital Jitra perlukan sumbangan katil, tabung oksigen

Halimaton Shaadiah (dua dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat pada majlis penyerahan katil hospital di Hospital Jitra pada Ahad.
Halimaton Shaadiah (dua dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat pada majlis penyerahan katil hospital di Hospital Jitra pada Ahad.
A
A
A

JITRA - Kerajaan Kedah mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan kelengkapan hospital di Hospital Jitra di sini.

Exco Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, antara kelengkapan yang diperlukan adalah katil dan tabung oksigen untuk menampung jumlah pesakit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada ketika ini ICU hospital berkenaan mempunyai 27 buah katil dengan kelengkapan 16 buah tabung oksigen, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

"Walau bagaimanapun kita bersyukur kerana ada syarikat sudi menyampaikan sumbangan 26 buah katil termasuk bantal yang keseluruhannya berjumlah RM60,000 untuk kegunaan pesakit," katanya ketika ditemui pada Majlis penyerahan sumbangan katil hospital oleh Syarikat SG Energy Sdn Bhd di Hospital Jitra di sini pada Ahad.

Turut hadir Pegawai Eksekutif SG Energy Sdn Bhd, Izzul Saly Ali, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhammad Arof Darus dan Pengarah Hospital Jitra, Dr Farozy Faizah Fazil.

Menurutnya, walaupun jumlah katil semakin bertambah dengan sumbangan terbabit, namun beliau khuatir ia belum mencukupi untuk menampung keseluruhan pesakit di hospital pada masa akan datang.

"Sebab itu saya menyeru semua masyarakat sekitar terutamanya usahawan dan dermawan supaya menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan menyalurkan kelengkapan ini kepada hospital.

"Kita menerima apa sahaja bentuk sumbangan untuk kegunaan di hospital. Namun yang paling utama adalah katil dan tabung oksigen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Halimaton Shaadiah berkata, beliau turut menerima permohonan daripada Hospital Sultanah Bahiyah untuk menyediakan dua kontena bagi persediaan tempat untuk menyimpan mayat.

"Sekarang ini kita masih guna bilik mayat namun kontena itu dimohon sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Insya-ALLAH SWT esok (Isnin) saya akan panjangkan dalam Mesyuarat Exco yang akan dijalankan secara online untuk kita berbincang mengenai permohonan ini,"katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut bersedia untuk menyalurkan bantuan fasa dua kepada penduduk sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mahsuri dan Kampung Lubuk Kawah di sini disambung.