Peniaga keliru diarah pindah ketika 'total lockdown'

Pemindahan peniaga pasar dijadualkan pada 1 Jun.
Pemindahan peniaga pasar dijadualkan pada 1 Jun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Peniaga Pasar Harian Selayang memohon penjelasan berhubung tarikh pemindahan peniaga ke bangunan baharu yang dijadualkan serentak dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' pada 1 Jun ini.

Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Mohd Hafiz Mohd Sidik berkata, peniaga belum menerima arahan baharu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan total lockdown itu.

Menurutnya, ketiadaan maklumat terkini itu menyebabkan peniaga keliru sama ada cadangan tersebut diteruskan atau ditangguhkan.

"DBKL belum memaklumkan sebarang perkembangan lanjut. Ketiadaan maklumat yang tepat menyebabkan peniaga keliru dan tidak pasti boleh berpindah mengikut waktu ditetapkan atau ada perubahan lain.

"Peniaga belum bersedia untuk berpindah di lokasi baharu kerana beberapa masalah teknikal yang belum selesai termasuk ada yang belum menerima kunci," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tapak niaga yang kecil menyukarkan peniaga meletakkan stok barangan.
Tapak niaga yang kecil menyukarkan peniaga meletakkan stok barangan.

Justeru, pihaknya meminta supaya cadangan pemindahan itu ditangguhkan pada masa lebih sesuai sehingga keadaan pasar baharu itu benar-benar selesa untuk diduduki.

"Keadaan pasar belum berada pada tahap bersedia. Barang peniaga belum dipindahkan sepenuhnya sementara peniaga di medan selera belum menerima kunci.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap dapat ditangguhkan lagi sehingga masalah berkenaan selesai dan peniaga selesa bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan," katanya.

Sebelum ini peniaga Pasar Harian Selayang sepatutnya berpindah pada 1 April lalu tetapi ditangguhkan kepada 1 Jun kerana terdapat beberapa kerja ubah suai di bangunan baharu mengikut kesesuaian peniaga dan pengunjung.