Vaksin dan harga ujian Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LENGUH jari aku ketik papan kunci nak daftar vaksin,” kata kawan saya.

“Berjaya tak?” tanya saya.

“Tak dapat pun,” jawab kawan saya hampa.

“Tak apa, nanti tunggu sahajalah panggilan MySejahtera,” kata saya lagi.

Saya pun sedang menunggu panggilan juga. Semasa pengumuman untuk daftar vaksin dibuat, saya sudah mula mendaftar awal-awal lagi iaitu pada bulan Februari. Tetapi bak kata pepatah, ‘bayang-bayang disangka tubuh’.

Katanya, perlu diberi keutamaan kepada yang berisiko dulu terutama warga emas. Tetapi dengar cerita ada juga yang bukan warga emas dikatakan telah divaksin. Mungkin mereka ini, muda-muda lagi sudah berisiko tinggi agaknya.

Ada juga yang beritahu, ada satu keluarga, semua anak beranaknya sudah pun divaksin. Entah betul atau tidak, tidaklah saya tahu. Mungkin satu keluarga itu berisiko tinggi agaknya.

Cuma saya hampa juga apabila orang yang betul-betul berkehendak tidak dapat, tetapi yang sudah dapat tarikhnya, tidak berkehendak pula. Dengar cerita banyak alasan juga yang diberi untuk tidak mahu divaksinkan.

Artikel Berkaitan:

Begitulah cerita yang hangat dibicarakan sepanjang minggu ini. Beberapa hari lepas pula saya ada membaca di sebuah akhbar berkenaan harga ujian pengesanan Covid-19, yang katanya, pusat perubatan swasta mengenakan harga melebihi harga siling.

Dalam akhbar tersebut, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, “harga siling telah diwartakan pada 17 Mei di bawah ordinan darurat. Jika ada yang mengenakan harga lebih tinggi daripada harga siling bolehlah rakyat melaporkan kepada pihak berkuasa.”

Saya ada menelefon beberapa klinik swasta juga untuk bertanya berkenaan harga untuk ujian pengesanan kaedah RTK Antigen dan sebagainya. Tetapi rata-rata memang meletakkan harga lebih tinggi daripada harga siling.

“Hello, saya nak tanya, kalau untuk ujian kesan Covid-19 berapa harga?” tanya saya.

“Oh harganya kalau RTK Antigen RM130,” katanya klinik tersebut.

“Eh bukan ke harganya RM60 sahaja?” tanya saya lagi.

Kemudian saya menelefon klinik lain pula. Setelah menelefon beberapa buah klinik, saya dapati paling murah pun harganya RM100.

“Mana boleh letak harga lebih daripada harga siling. Bukan ke kerajaan dah wartakan?” tanya saya meminta kepastian.

“Eh ya ke? Kami tak tahu pun,” kata klinik yang lain pula.

Saya ada juga membuat pertanyaan kepada pihak Crisis Preparedness And Response Center (CPRC) Kebangsaan melalui e-mel memohon pencerahan. Tetapi setakat artikel ini ditulis kelmarin, saya masih belum dapat jawapan lagi.

Menyamar

Molek pihak berkuasa membuat siasatan juga. Boleh sahaja membuat penyamaran sekali sekala untuk mengetahui perkara yang sebenar. Lebih elok menteri dan timbalan menteri buat panggilan telefon menyamar sebagai mereka orang yang disyaki ada kontak rapat Covid-19.

Lagipun, sejak darurat ini bukan perlu hadir ke Parlimen pun. Jadi memandangkan Parlimen tutup, eloklah gantikan dalam masa darurat ini dengan tugas untuk membuat penyiasatan.

Selain itu, saya berharap juga, pihak yang terlibat dapatlah memberi keutamaan kepada rakyat jelata yang telah mendaftar melalui MySejahtera. Terutama mereka yang telah mendaftar awal lagi tanpa mengira berisiko atau tidak.

Paling penting imuniti kelompok dapat dicapai dengan cepat. Maka akan berkuranglah risiko kepada mereka-mereka yang dikatakan berisiko. Negara-negara lain dengar cerita sangat pantas juga dalam memastikan imuniti kelompok tercapai dengan cepat.

Baru-baru ini saya ada menonton video yang dikirim oleh bos saya, berkenaan bagaimana Amerika Syarikat melakukan proses vaksin. Nampaknya mereka berhasil menurunkan graf jangkitan Covid-19 ini.

Dalam video itu Joe Biden iaitu Presiden Amerika Syarikat ada berkata, “Tak kisahlah kamu dari Parti Demokrat atau Republikan, yang penting kita bersatu demi rakyat Amerika untuk keluar cepat daripada pandemik ini.”

Saya teringat juga akan sebuah buku penulisan Syed Hussein Alatas, bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun. Maksud beliau lebih kurang beginilah untuk kita mudah faham,

“Kalau ada ilmu (baca:otak) tak digunakan untuk berfikir (baca:aplikasikan), tidak ada gunanya juga.”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com