X

Kindly register in order to view this article
!

Isu LRA: Sanusi diminta perjelaskan pelantikan empat kontraktor

Zamri Yusuf
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta memperjelaskan kepada umum mengenai pelantikan empat kontraktor untuk projek cadangan membina empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.

Bekas Exco Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Datuk Zamri Yusuf berkata, ini termasuk memperjelaskan status rundingan langsung dengan Bina Darulaman Berhad (BDB) untuk LRA Pelubang.

Menurut beliau, sebagai ketua kerajaan ketika ini, Muhammad Sanusi harus bersikap terbuka untuk memastikan anugerah tender empat LRA berkenaan dibuat secara telus.

“Adakah kontraktor yang ditawarkan membida harga terendah? Setelah pra-syarat memasuki tender terbuka begitu ketat kelayakannya,” katanya.

Selain LRA Pelubang, turut dibangkitkan projek menaik taraf LRA Bukit Selambau di Kuala Muda, bernilai RM129.4 juta kepada Widad Builders Sdn Bhd (WBSB).

Zamri turut mempertikai beberapa kenyataan dibuat Muhammad Sanusi sebelum ini yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat kecelaruan keputusan kerana melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) mengendalikan tender bukannya Syarikat Air Darul Aman (SADA) seperti bawah pentadbiran Pas dan Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin jelaskan kekeliruan, antaranya berkaitan iklan tender dikeluarkan kerajaan BN sebelum 2018 serta kerajaan PH didakwa membatalkan tender untuk kajian harga.

"Cadangan projek pembinaan lima LRA adalah projek kerajaan negeri melalui dana pinjaman daripada kerajaan Persekutuan. Kelulusan ketika 2018, hanya RM500 juta berbanding anggaran keseluruhan RM936 juta.

"Cadangan projek ini turut melibatkan pengambilan balik tanah, sedangkan Pelan Pengambilan Balik Tanah (Land Acqui Plan) belum disediakan termasuk kos pampasan pengambilan balik tanah belum ditentukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tender LRA: Lapor SPRM jika tidak puas hati, kata Sanusi

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti itu berkata, konsultan yang menyediakan Pelan Cadangan Projek hanya dilantik oleh SADA yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI)

“Projek kerajaan negeri hendaklah dikendalikan oleh agensi pelaksana yang termaktub dalam peraturan dan hasil perbincangan memilih JKR.

"Kepakaran JKR mampu menyemak dokumen wajib agar tidak timbul sebarang pertikaian sepanjang kendalian projek yang boleh membawa risiko kerugian kepada kerajaan,” katanya.

Zamri turut mempersoal sama ada benarkah tender telah diiklankan ketika BN memerintah.

“Siapa kendalikan tender? Siapa dianugerahkan tender? Siapa tanggung kos pengambilan balik tanah?” soalnya.

Menurutnya, kerajaan PH mengendalikan tender lima LRA mengikut peraturan Perolehan Kerajaan.

“Konsultan yang menyediakan dokumen dan pelan cadangan dipanggil untuk perbincangan dan pembentangan oleh kerajaan negeri. Dokumen tender, pelan pembinaan untuk tender dan spesifikasi masih di peringkat penyediaan.

"Pelan pengambilan tanah masih di peringkat siasatan awal. Rayuan mohon kelulusan pertambahan pinjaman Persekutuan sedang diuruskan. Rayuan juga dibuat untuk menggunakan sebahagian dana pinjaman untuk bayaran kos pengambilan balik tanah,” katanya.

Tambah Zamri, rundingan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjaya mencapai kesepakatan iaitu selepas migrasi, empat LRA dijadikan sebagai geran.

“LRA Pelubang dirangka untuk atasi masalah bekalan air ke Kuala Kedah, Jerlun dan kawasan Industri Bukit Kayu Hitam. Oleh itu, LRA Pelubang merangkumi tiga strategi khusus yang boleh dicapai dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, tuduhan JKR tiada kepakaran untuk pengawasan projek LRA adalah tidak wajar.

“JKR adalah agensi pelaksana yang pakar dalam hal berkaitan tender dan pengawasan projek. Setiap projek LRA telah dilantik konsultan yang memantau pembinaan mengikut kualiti dan spesifikasi ditetapkan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!