Tender LRA: Lapor SPRM jika tidak puas hati, kata Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Pihak yang mempertikaikan penganugerahan tender Loji Rawatan Air (LRA) kepada Widad Group Bhd dipelawa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana tiada apa yang disembunyikan berikutan pemilihan syarikat itu mengikut prosedur.

Menurutnya, semua projek LRA dibuat secara tender terbuka dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya meneruskan usaha yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kalau tidak berpuas hati, boleh lapor kepada SPRM atau mana-mana agensi berkaitan. Syarikat Air Darul Aman (SADA) bukan pemilik projek LRA ini. Ketika PH mentadbir, Jabatan Kerja Raya (JKR) diletakkan sebagai agensi penguasa atau pemilik projek.

SADA tiada peranan mahupun kaitan dengan projek berkenaan walaupun pengguna akhir kepada LRA ini ialah SADA. Inilah sebahagian kecelaruan keputusan dilakukan PH sewaktu berkuasa di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang mahu kerajaan negeri memberikan penjelasan berhubung pemberian projek menaik taraf LRA Bukit Selambau di Kuala Muda, bernilai RM129.4 juta kepada Widad Builders Sdn Bhd (WBSB).

WBSB merupakan anak syarikat milik penuh Widad Group Bhd yang sekali lagi dipilih oleh kerajaan negeri untuk menerima projek besar di negeri ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketika BN mentadbir Kedah sebelum ini, iklan tender LRA sudah dikeluarkan namun apabila PH mengambil alih pentadbiran, mereka membatalkan untuk melakukan kajian harga semula.

Artikel Berkaitan:

“Lebih setahun barulah selesai kajian harga, namun keputusannya sama seperti harga sebelumnya. Kemudian dibuka semula tender dan banyak syarikat berminat, di mana tender berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh JKR sebagai pemilik projek,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua jawatankuasa yang mengendalikan proses tender terbabit, iaitu jawatankuasa penilaian dan jawatankuasa tender yang dilantik JKR mengikut tatacara perolehan dan tender kerajaan.

“Tiada orang politik mahupun wakil rakyat dalam kedua-dua jawatankuasa itu. Sewaktu peralihan kuasa, semua proses berkaitan dalam jawatankuasa penilaian dan tender telah hampir selesai.

"Kerajaan PN hanya mohon dipercepatkan prosesnya supaya kesemua pembinaan LRA disegerakan, tidak lebih daripada itu. Malah kita tidak ambil tahu syarikat mana yang layak atau siapa yang masuk tender sebab itu bukan urusan kita,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak campur tangan dalam keputusan pemilihan syarikat selari dengan dasar kerajaan yang telus dan tiada campur tangan dalam urusan jabatan mengikut ketetapan peraturan dan undang-undang.

“Apabila keputusan diumumkan, tentulah ada yang dapat, ada tidak. Pihak yang bangkitkan isu ini ada masuk tender kah? Atau proksi mereka tidak menang tender? Itu masalah mereka, bukan masalah kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun bagi memastikan kelancaran proses pembinaan LRA, SADA mohon dilibatkan sebagai wakil penguasa dalam peringkat pembinaan memandangkan JKR tiada kepakaran setelah JKR (Air) dijumudkan susulan bekalan air negeri dikorporatkan.

“Untuk sebarang kemusykilan, rujuk Pengarah JKR Kedah atau agensi terbabit yang menguruskan tender, saya tak terbabit,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek besar kepada Widad dipersoal: MB perlu beri penjelasan