Sembilan lokaliti seluruh negara dikenakan PKPD bermula Sabtu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak sembilan lokaliti di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini hingga 11 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga daripada lokaliti terlibat adalah dalam mukim Sitiawan di daerah Manjung, Perak melibatkan kawasan Sitiawan, Seri Manjung dan Ayer Tawar.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 135 kes positif Covid-19 di mukim Sitiawan yang menyumbang kepada 58.7 peratus kes di daerah Manjung.

"Berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam kawasan berkepadatan tinggi serta jangkitan dalam komuniti di mukim ini melibatkan Pekan Sitiawan, Pekan Ayer Tawar, Pekan Kampung Koh, Pekan Pasir Panjang dan Bandar Seri Manjung," katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, tiga lagi lokaliti yang dikenakan PKPD adalah Bandar Triang, Pekan Kemayan dan Gugusan Mendi di Bera, Pahang, selepas 76 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 1,258 ujian saringan oleh KKM di daerah berkenaan.

Ismail Sabri juga memaklumkan turut dikenakan PKPD adalah mukim Kuala Berang di Hulu Terengganu, setelah KKM mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat apabila sebanyak 37 kes positif direkodkan hasil daripada 213 ujian saringan.

"Pada masa sama, berlaku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dua lagi lokaliti yang dikenakan PKPD adalah di Sabah melibatkan Kampung Baru Durok, Keningau dan Kampung Mook, Kinarut, Papar.

Artikel Berkaitan:

"Di Kampung Baru Durok, KKM melaksanakan 158 ujian saringan dan 28 kes positif direkodkan, manakala di Kampung Mook, Kinarut sembilan kes positif dikesan hasil daripada 35 ujian saringan," katanya sambil menambah prosedur operasi standard (SOP) kesemua PKPD sama seperti diumum sebelum ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, dalam tempoh lima hari sehingga hari ini, sebanyak 941 kesalahan gagal merekodkan butiran diri atau mendaftar ketika memasuki mana-mana premis dikesan menerusi Operasi Pematuhan SOP sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Beliau berkata kesalahan tiada penjarakan fizikal turut mencatatkan peningkatan kes dalam tempoh sama iaitu secara kumulatif sebanyak 767 kes direkodkan.

"Pada Rabu, 724 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 712 individu dikompaun manakala 12 direman," katanya. - Bernama