X

Kindly register in order to view this article
!

Maszlee kesal tak dibenarkan sertai mesyuarat wakil rakyat Johor

Surat jemputan menyertai sidang video mesyuarat wakil rakyat Johor pada Khamis yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Maszlee. Gambar kiri: Maszlee Malik
A
A

JOHOR BAHRU- Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik kesal dengan tindakan urus setia mesyuarat yang tidak membenarkan beliau menyertai sidang video perbincangan berhubung situasi Covid-19 di Johor pada Khamis.

Menerusi akaun Facebooknya, Maszlee memaklumkan keengganan urus setia itu disebabkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah berucap.

"Alhamdulillah pada jam 9.45 pagi hari ini ( Khamis) saya telah membuka pautan dan menantikan urus setia dari Pejabat Menteri Besar Johor. Saya menantikan sehingga jam 10.15 pagi dan agak terkejut apabila ditolak untuk menyertai mesyuarat tersebut.

"Saya cuba sekali lagi untuk meminta izin memasuki mesyuarat tetapi tetap ditolak. Saya telah menghubungi Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Herman Raban dan beliau telah menghubungi pihak Pejabat Menteri Besar Johor.

"Beliau menghubungi saya semula dan menyampaikan mesej dari Pejabat Menteri Besar Johor bahawa pihak urus setia tidak membenarkan saya menyertai sidang video kerana Menteri Besar Johor telah berucap," katanya.

Bekas Menteri Pendidikan itu menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang pelik dan amat tidak munasabah.

"Saya memasuki sidang tersebut dan menantikan izin untuk masuk pada jam 9.45 pagi hingga 9.50 pagi, walhal mesyuarat dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi. Apakah Menteri Besar Johor telah berucap sebelum mesyuarat dijadualkan bermula?

"Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan mencerminkan kecelaruan di pihak urus setia mesyuarat. Sebagai ahli Parlimen yang mewakili rakyat dalam kawasan Parlimen saya, kehadiran dalam mesyuarat maya ini amat penting untuk membawa suara rakyat yang saya wakili," katanya.

Pada minggu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan pentadbiran kerajaan negeri, semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini, supaya memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung.

Susulan itu, Hasni memanggil Mesyuarat Khas Covid-19 pada Khamis seterusnya memberi jaminan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!