Penduduk Paya Jaras serbu program saringan Covid-19

Mohd Khairuddin ketika turun membuat tinjauan pada program saringan percuma di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras pada Rabu.
Mohd Khairuddin ketika turun membuat tinjauan pada program saringan percuma di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Hampir 3,000 penduduk menyerbu Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras bagi menyertai program saringan percuma yang berlangsung pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mula membanjiri kawasan tersebut seawal jam 8 pagi walaupun program tersebut bermula jam 9 pagi.

Program yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat ini dikawal oleh 120 sukarelawan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatan Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras.

"Inisiatif seperti ini amat baik, walaupun kesedaran rakyat telah meningkat, kita tidak mahu individu yang dijangkiti menyebarkan wabak ini kerana mereka tidak sedar telah dijangkiti Covid-19.

"Menerusi program saringan percuma ini, kita dapat membuat pengesanan awal dan mengawal penularan Covid-19 dalam masyarakat," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurut Khairuddin, seramai 2,700 individu telah mendaftar untuk program itu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menjangkakan kehadiran 500 individu lagi secara terus.

Tambah beliau, pihaknya melalui Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras juga telah menjalankan sembilan program untuk membantu lebih 10,000 penduduk di sini yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Perwakilan Penduduk MBSA Zon 23, Mariam Abdul Rashid berkata, terima kasih kerajaan negeri kerana memilih kawasan ini untuk menyertai program saringan.

"Saya rasa bertuah kerana kawasan ini dipilih, kita mendapat sambutan yang menggalakkan kerana tahap kesedaran orang ramai terhadap Covid-19 sudah meningkat.

"Ini perkembangan yang sangat baik, saya juga menyarankan agar program saringan seperti ini turut diadakan di negeri-negeri lain,"katanya.

Sementara itu, Lee Yee Seong, 47, dan isteri, Low Shi Meng, 39, menyambut baik inisiatif seperti ini dan tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir.

"Program seperti sangat bagus kerana kita tidak tahu adakah kita dijangkiti atau tidak, tambahan terdapat banyak kes-kes jangkitan yang tidak menunjukkan simptom.

"Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang ramai yang tidak mampu untuk membuat saringan berbayar, jadi kerajaan Selangor bantu kita dengan cara ini," ujar mereka.

.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!