Kisah lelaki motor pancit

A
A

LELAKI itu datang ketika saya berhenti untuk mengisi minyak berhampiran kawasan tol di lebuh raya. Wajah sedihnya memberitahu dia memerlukan bantuan.

“Abang kena tolong saya,” katanya merintih, dan itu memang telah saya jangka. Sebab itu saya hanya menggeleng kepala sambil mengisi minyak.

“Abang tolong saya RM20, tayar motor saya pancit,” dia merayu, saya masih menggeleng. “Betul, motor saya pancit,” dia macam hendak menangis.

“OK, kalau tidak boleh RM20, berilah saya RM10...” Saya masih menggeleng. Pelanggan lain di stesen minyak itu tidak sedikit pun menghiraukannya. Dia nampak kecewa sangat dan berlalu dengan longlai.

Hanya setelah masuk semula ke kereta, baru timbul kesian di hati saya. Tetapi lelaki motor pancit itu sudah hilang entah ke mana.

Biasanya saya tidak sekeras itu. Jarang sekali saya buat ‘dhek’ kepada sesiapa juga – tanpa mengira bangsa dan warna kulit –yang memohon bantuan.

Baik makcik yang tidak cukup duit di kaunter pembayaran, apek yang tidak ada duit untuk membeli air longan, hatta anak sekolah yang terliur cendol, saya tidak kedekut menghulurkan seringgit dua.

Entah berapa banyak derma dan sedekah saya hulurkan kepada gadis yang memungut derma di R&R, atau pemuda berjubah yang meminta derma madrasah, pengemis di masjid setiap Jumaat, atau si buta yang menadah mangkuk di kaki lima.

Dan berapa banyak kerepek, rempeyek, tisu, pemetik api, surat Yasin, minyak gamat dan lain-lain yang saya beli bukan kerana keperluan tetapi kerana kesian. Tidak sampai hati melihat mereka berjualan di kaki lima bank.

Tetapi, akhir-akhir ini semakin banyak diberitakan mengenai peminta sedekah menyamar, menipu. Sebab itu saya tidak melayan lelaki motor pancit. Dia juga mungkin menipu, meraih simpati dengan memperdaya orang ramai.

Tetapi, apa kata jika dia tidak berbohong dan motornya betul-betul pancit? Mungkin motosikal itu untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Atau, apa kata sekiranya isterinya sakit dan motosikalnya tidak boleh digunakan untuk membawanya ke klinik? Menderitanya si isteri!

Dalam perjalanan ke pejabat, dan sepanjang hari di tempat kerja saya memikirkan lelaki motor pancit dengan wajah kecewa itu. Rugi sangatkah kalau saya hulurkan RM20? Atau RM10? Atau jadi miskinkah jika berikan dia RM5?

Tiba-tiba saya rasa amat bersalah, menyesal betul!

Tetapi, teringat pula kisah lama. Di tempat letak kereta Kompleks PKNS Shah Alam, saya didatangi seorang lelaki berjubah, berkopiah dan menggalas sebuah beg kecil lusuh. Dia melutut dan menangis di hadapan saya. Belum apa-apa saya sudah simpati.

“Saya terlepas kapal terbang dua minggu lalu,” katanya sambil membuka beg dan mengeluarkan tiket penerbangan tambang murah ke Pakistan.

Dia terlewat kerana kesesakan lalu-lintas dalam perjalanan ke KLIA2, terpaksa bermalam di surau lapangan terbang kerana tidak cukup duit pulang ke rumah sahabatnya di Setapak, KL.

Diceritakan juga dia menjadi pembantu restoran, juga memohon derma orang ramai, untuk mendapat duit membeli tiket penerbangan baharu.

“Sini banyak orang baik hati, tolong sama saya. Sekarang kurang sikit lagi, kalau tuan boleh derma saya RM500, boleh saya beli tiket sekarang...”

Dia mengeluarkan pula sekeping gambar seorang kanak-kanak perempuan di wad hospital. “Ini anak saya, sudah lama duduk hospital, doktor mahu operation...saya ingin jumpa anak saya. Tolonglah derma...” dia betul-betul menangis.

Simpati saya tidak terhingga, lebih-lebih lagi apabila dia memeluk tiket yang lusuh itu dengan gambar anaknya. Tetapi saya tidak ada RM500.

Dompet saya hanya ada RM200, tetapi tidak boleh sedekahkan semua sebab saya perlu juga mengisi tangki kereta. Saya berikan dia RM150, sambil berdoa ada orang lain mencukupkan duitnya membeli tiket.

Dengan linangan air mata, dia memeluk saya, mengucapkan terima kasih, kemudian mengangkat tangan berdoa: “Saya jumpa anak saya, tuan akan dapat rezeki lebih.” Saya tidak dapat menahan sebak...

Tiga bulan kemudian, ketika menemankan isteri di sebuah pasar raya, lelaki yang sama mendekati saya. Intronya pun sama: “Saya terlepas kapal terbang minggu lalu...” Tangisan yang sama, tiket lusuh yang sama, gambar anak gadis yang sama.

Kalau ikutkan panas hati mahu sahaja saya menamparnya kerana menipu saya hidup-hidup. Tapi saya sabar, dan berkata: “Dulu awak pernah jumpa saya dekat parking kereta PKNS bukan?”

Dia merenung saya, tidak sempat mengesat air mata, dan cepat-cepat berlalu sambil berkata: “Maaf tuan, susah cari makan...”

Saya berharap sehari dua ini, di tempat yang berbeza, saya bertemu semula lelaki sama, memberitahu: “Abang motor saya tayar pancit, boleh bagi RM20?”

Maka tidaklah saya terus rasa bersalah!


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.