Ahli Parlimen PH gesa bantuan segera kepada warga KL

Golongan miskin bandar terutamanya di PPR antara kelompok paling terjejas angkara Covid-19. - Bernama
Golongan miskin bandar terutamanya di PPR antara kelompok paling terjejas angkara Covid-19. - Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) Kuala Lumpur menggesa kerajaan supaya segera memberikan bantuan kepada rakyat di ibu kota berkenaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bermula Selasa.

Menurut mereka, kerajaan masih belum mengumumkan sebarang langkah dan sokongan kepada warga kota yang terpaksa mengehadkan aktiviti ekonomi bagi membendung penularan Covid-19.

Antara langkah yang digariskan mereka ialah memberi sewa percuma tambahan sebanyak 12 bulan bagi semua penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bermula Mei 2021.

“Kerajaan juga perlu melanjutkan program Lesen Prihatin Wilayah Bebas Berniaga sehingga hujung tahun 2021 dan memberi cukai pintu percuma bagi enam bulan kedua iaitu Julai hingga Disember 2021 bagi pemilik rumah flat atau perumahan kos rendah.

“Ketua isi rumah keluarga B40 di Kuala Lumpur yang terdapat dalam senarai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Baitulmal dan e-Kasih perlu diberikan bantuan melalui baucar pembelian makanan bernilai RM500,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan ahli Parlimen terdiri daripada Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Turut serta ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu) dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (Segambut).

Dalam kenyataan sama, mereka turut meminta kerajaan mewujudkan program saringan Covid-19 secara percuma buat warga Kuala Lumpur di setiap Parlimen dengan menggunakan alat ujian saringan RTK-Antigen.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut meminta kerajaan supaya menggunakan Van Wilayah di setiap Parlimen sebagai urusan pengangkutan membawa warga kota ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).