Kapasiti pekerja di tapak pembinaan terhad kepada 60 peratus

Fadillah - Foto Bernama
Fadillah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kapasiti pekerja di tapak pembinaan adalah terhad kepada 60 peratus manakala waktu operasi adalah tertakluk kepada penetapan pihak berkuasa tempatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, semua kerja pembinaan boleh diteruskan namun prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan perlu dipatuhi sepenuhnya atau berdepan penutupan tapak pembinaan atau tindakan kompaun.

“Saya telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan SOP di tapak bina dan juga penempatan pekerja binaan.

“CIDB mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan dan juga mengenakan kompaun kepada tapak-tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.,

Beliau memaklumkan CIDB juga mempunyai kuasa mengenakan tindakan tatatertib kepada kontraktor yang didapati bersalah yang akan mengakibatkan pendaftaran mereka digantung atau dibatalkan.

Fadillah berkata, kontraktor perlu melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk memantau pematuhan SOP di tapak bina, selain memantau garis panduan keselamatan dan kesihatan yang lain.

Statistik MKN menunjukkan dari 12 hingga 30 April, sebanyak 709 kes Covid-19 dikesan di tapak pembinaan daripada 25 kluster manakala dari 1 hingga 19 Mei, jumlah kes meningkat kepada 880 kes daripada 52 kluster.

Selain itu, CIDB telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,532 tapak pembinaan sejak 13 Jan sehingga 23 Mei, daripada jumlah itu sebanyak 2,502 tapak pembinaan mematuhi SOP dan dua tapak pembinaan gagal mematuhi SOP telah diarahkan tutup.

Artikel Berkaitan:

Penggiat industri pembinaan boleh merujuk SOP Sektor Pembinaan terkini di www.cidb.gov.my. dan sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan di sepanjang tempoh PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (waktu operasi dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5.30 petang). - Bernama