Sabah akan sedia bantuan kepada mangsa banjir di Beaufort, Tenom

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

TENOM - Kerajaan negeri Sabah berjanji akan membantu mangsa yang kediaman, harta benda dan tanaman mereka musnah dalam kejadian banjir di daerah Beaufort dan Tenom.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa bencana alam daerah dipengerusikan oleh pegawai daerah berkenaan akan membuat penilaian terhadap harta benda dan kerosakan tanaman akibat banjir terburuk di kawasan tersebut.

“Saya datang untuk melihat sendiri keadaan di sini dan saya melihat banyak rumah terjejas dan banyak orang kehilangan tempat tinggal,” katanya kepada pemberita di Dewan Sri Ontoros di Kemabong pada Isnin.

Beliau berkata, laporan penilaian itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan akan menelitinya untuk diberikan bantuan.

Di samping itu, katanya, mangsa juga akan diberi bantuan keperluan barang makanan.

Semasa lawatan itu, Hajiji diberi taklimat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Pegawai Daerah Sungkim Rumangun.

Kemudian, Ketua Menteri itu melawat Beaufort di mana beliau diberi penerangan mengenai bantuan banjir dan juga menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, memaklumkan seramai 4,999 daripada 1,424 keluarga masih ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, sebanyak 122 kampung yang terjejas banjir melibatkan 75 kampung di Beaufort dan 47 kampung di Tenom.

Tenom masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan 4,396 mangsa dari 1,269 keluarga. - Bernama