'Isi tebal, rasa manis' - Longan madu laris, jualan cecah 100kg sehari

KUANTAN - Selepas berakhir musim duku dan dokong, buah longan madu pula menjadi pilihan pembeli apabila jumlah jualannya mampu mencecah 100 kilogram (kg) sehari.
Pekerja gerai buah-buahan, Mohamad Aziz Firdaus Tuan Azizi, 20, berkata, longan madu yang mula dipasarkan kira-kira dua minggu lalu itu mendapat permintaan menggalakkan.
“Permintaannya agak tinggi sehingga ada pembeli mendapatkan empat kilogram dalam satu urus niaga.
“Meskipun terdapat pilihan buah-buahan lain, longan madu tetap menjadi pilihan kerana isinya tebal dan rasanya manis,” katanya ketika ditemui di Jalan Kampung Kempadang di sini pada Selasa.

Dia yang sudah bekerja di gerai berkenaan sejak lima tahun lalu menawarkan buah itu pada harga RM12 sekilogram atau RM20 bagi pembelian dua kilogram.
Katanya, kadar berkenaan lebih rendah berbanding tahun lalu apabila longan madu dijual pada harga RM13 sekilogram.
“Walaupun hasil kali ini merosot, harga terpaksa diturunkan bagi memastikan stok cepat habis dan peraih tidak berdepan kerugian sekiranya permintaan perlahan,” katanya.

Sementara itu, pekerja gerai buah-buahan, Asrul Asri, 19, berkata, pembelian longan madu lebih rancak pada hujung minggu, terutama ketika pasar tani berlangsung.
Ujarnya, pada hari biasa, gerainya menjual sekitar satu hingga dua bakul sahaja.
“Setiap bakul mengandungi kira-kira 18kg buah longan dan kalau hari Ahad, enam bakul pun boleh habis kerana ramai pengunjung bertumpu di pasar tani,” katanya.
Mengulas mengenai tawaran di gerainya, Asrul berkata, longan madu turut dijual pada harga promosi RM15 bagi dua kilogram berbanding harga biasa RM12 sekilogram pada hari tertentu bagi menghabiskan stok sedia ada.
"Selalu bekalan diperolehi pemborong setiap hari, tapi hari majikannya tidak mengambil stok baharu kerana mahu menghabiskan bekalan sedia ada, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

