Projek besar kepada Widad dipersoal: MB perlu beri penjelasan

Widad Business Group (WBG)
Widad Business Group (WBG)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah perlu memberikan penjelasan berhubung pemberian projek menaik taraf loji rawatan air (LRA) Bukit Selambau di Kuala Muda bernilai RM129.4 juta yang diberikan kepada Widad Builders Sdn Bhd (WBSB).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, perkara tersebut menjadi tanda tanya susulan WBSB yang merupakan anak syarikat milik penuh Widad Group Bhd (Widad) sekali lagi dipilih oleh kerajaan negeri untuk menerima projek besar di negeri ini.

Beliau berkata, disebabkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak dapat bersidang kerana negara masih dalam tempoh darurat, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu mengeluarkan kenyataan bagi memberikan penjelasan kepada rakyat.

"Ini kali kedua syarikat yang mendapat projek membuat kenyataan. Sepatutnya kenyataan dibuat oleh kerajaan negeri bagi mengesahkan tender diberikan kepada Widad kerana melibatkan nilai lebih RM100 juta.

"Sebelum ini saya difahamkan Widad Business Group (WBG) turut mendapat projek berimpak tinggi di Langkawi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM40 bilion.

"Kemudian pada April, Widad mendapat kontrak bernilai RM89.8 juta bagi menaik taraf LRA Sungai Limau di Baling," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan media berhubung WBSB yang memperoleh kontrak bernilai RM129.4 juta daripada kerajaan negeri Kedah untuk menaik taraf loji rawatan air Bukit Selambau di Kuala Muda berkuat kuasa pada 6 Jun 2021 sehingga 2 Disember 2023.

Sementara itu, Phahrolrazi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, kerajaan negeri Kedah perlu memberi memperincikan sebab-sebab syarikat tersebut dianugerahkan projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya mempersoalkan keupayaan syarikat itu dalam menaik taraf LRA kerana tidak mahu projek tersebut terbengkalai sehingga memberikan kesan kepada rakyat.

"Bekalan air di Kedah di beberapa kawasan tertentu masih agak meruncing kerana terdapat lori-lori yang menghantar bekalan air kepada penduduk walaupun ketika hujan.

"Kerajaan tidak boleh tumpu kepada projek menaik taraf LRA sahaja sedangkan sistem pengagihan paip lama juga perlu diganti," ujar beliau.