Pendapatan peniaga Pekan Sehari Temerloh terjejas

Suasana lengang di Pekan Sehari Temerloh yang dianggap peniaga terburuk berbanding dua PKP sebelumnya.
Suasana lengang di Pekan Sehari Temerloh yang dianggap peniaga terburuk berbanding dua PKP sebelumnya.
A
A
A

TEMERLOH - Peniaga di Pekan Sehari Temerloh kini mendakwa mereka berdepan masalah apabila pendapatan terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berbanding dua PKP sebelumnya.

Mereka juga bimbang kerana kehadiran pengunjung semakin merosot.

Peniaga kuih, Netriyani Md Yunus, 43, mengakui jualannya merudum sehingga 70 peratus untuk minggu pertama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Memang terasa sangat kesannya tetapi saya tetap meneruskan perniagaan di sini kerana sudah menjadi sumber rezeki," katanya pada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Netriyani yang membantu keluarga sejak berusia tujuh tahun mewarisi perniagaan di pekan sehari itu akur dengan situasi tersebut dan tetap berusaha mencari rezeki.

Seorang peniaga tempoyak, Rosman Abdul Malik, 42, turut bersetuju jika operasi di tapak tersebut ditutup sementara kerana jumlah pengunjung semakin merosot.

Mengakui larangan rentas antara faktor kemerosotan kehadiran pengunjung di tapak itu yang sebelum ini terkenal di seluruh negara.

"Saya reda jika pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan menutup Pekan Sehari Temerloh jika melihat kepada situasi dan sambutan orang ramai pada hari ini (Ahad)," katanya telah berniaga di tapak itu lebih 20 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga putu piring, Roshadah Hassan Basri, 27, pula, meneruskan perniagaan lebih baik walaupun pengunjung tidak tidak ramai.

"Sekurang-kurangnya kami masih boleh mendapat rezeki daripada jualan yang ada berbanding langsung tidak ada hasil," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Nor Aziah Alias Abdullah, 34, mengingatkan rakan-rakan dan pengunjung memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, mungkin ramai yang masih tidak mengetahui tapak perniagaan itu beroperasi.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati lebih 200 peniaga membuka gerai dengan SOP yang ketat selain pemantauan daripada pihak berkuasa di tapak tersebut.