Rakyat Malaysia pemurah bantu Palestin

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KRISIS antara Israel dan Palestin sebenarnya telah lama berlarutan. Hakikatnya, rakyat Palestin terseksa dan menderita sejak 73 tahun yang lalu.

Boleh dikatakan rakyat Palestin tidak pernah hidup aman memandangkan ada sahaja insiden yang menyebabkan kecederaan atau kematian penduduk Palestin di Gaza.

Sebenarnya penulis mula menyelami penderitaan rakyat Palestin hanya sekitar 10 tahun lalu.

Baru-baru ini, hati penulis tersentuh dan sedikit malu dengan kisah dua kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun di Perak yang sanggup menyerahkan wang syiling hasil simpanan yang dikumpulkan mereka sebanyak RM160 kepada Muslim Care Malaysia untuk membantu rakyat Palestin.

Muhammad Harith Mohd Hafizan dan abangnya, Muhammad Hakeem telah membuktikan usia setahun jagung bukanlah alasan untuk tidak berjiwa besar.

Muhammad Hakeem memberitahu, dia dan adiknya pada awalnya mengumpul wang untuk membeli telefon bimbit bagaimanapun menggunakan wang itu bagi membantu rakyat Palestin setelah didorong rasa sedih apabila melihat tangisan kanak-kanak yang cedera di Palestin.

Bagi penulis, kisah dua beradik ini antara contoh kemurahan rakyat Malaysia yang wajar dicontohi.

Rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama memang pemurah, ini bukan kisah rekaan tetapi realiti yang diakui semua termasuk masyarakat seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Kemurahan hati rakyat Malaysia bertambah ketara apabila menjadi negara paling awal menyalurkan bantuan kepada Palestin.

Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia terjejas dari segi pendapatan, namun dengan rasa cakna yang tinggi terhadap nasib penduduk Palestin menyebabkan mereka tidak kisah berkorban wang malah harta benda.

Sumbangan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor adalah antara salah seorang yang sanggup mengorbankan kereta jenis Volvo XC60 3.0cc miliknya untuk bidaan awam yang mana wang jualan sepenuhnya akan disumbangkan kepada tabung misi bantuan umat Islam di Palestin.

Muhammad Sanusi berkata, RM150,000 berjaya diperoleh hasil bidaan kereta itu yang akan disumbangkan ke akaun #Aid4Palestine.

Ada banyak NGO yang turut berusaha mengumpulkan dana untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Aman Palestin, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Iman Care, Serantau Muslim dan sebagainya.

Rakyat Malaysia yang pemurah tanpa ragu-ragu terus menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin.

Sehingga kini, penulis difahamkan kutipan diperoleh bersama kumpulan di bawah Aqsa Defenders telah mencecah lebih RM17 juta.

Namun secara tiba-tiba timbul isu kurang enak apabila sumbangan rakyat Malaysia untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa didakwa tidak sampai kepada pihak pengurusan seperti didedahkan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Walid mendedahkan, pihaknya menerima maklumat tidak ada penyaluran sumbangan walaupun banyak pihak mengutip dana.

Bagaimanapun, isu dana NGO tidak sampai ke al-Aqsa telah dijelaskan sendiri oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Palestin yang memaklumkan sumbangan adalah terus kepada rakyat Palestin tanpa pihak kedutaan mereka.

Pengurus Aman Palestin, Mohd Hanid Mohd Shaidi berkata, NGO Malaysia tidak menyalurkan dana kepada Duta Palestin di Malaysia untuk Masjid al-Aqsa kerana tanggungjawab penyelenggaran di bawah Kementerian Wakaf Kerajaan Jordan.

Menurutnya, Aman Palestin memiliki cawangan rasmi di Gaza dan penyaluran dana daripada NGO itu adalah secara terus ke akaun cawangan rasmi di sana untuk dihulurkan secara terus kepada penduduk Palestin memerlukan.

Bagaimanapun, penulis percaya wang sumbangan rakyat Malaysia benar-benar sampai kepada rakyat Palestin jika ia didermakan kepada NGO yang amanah.

Apa pun, penulis ingin ucapkan syabas kepada rakyat Malaysia kerana bersifat pemurah untuk membantu rakyat Palestin.

* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian Edisi Utara