Rakyat Palestin memperingati kematian wartawan Shireen Abu Akleh

Gambar dan beberapa barangan dipaparkan bagi memperingati Shireen Abu Akleh, di dalam bilik yang pernah menjadi pejabatnya di saluran berita Al Jazeera, Foto AFP
Gambar dan beberapa barangan dipaparkan bagi memperingati Shireen Abu Akleh, di dalam bilik yang pernah menjadi pejabatnya di saluran berita Al Jazeera, Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Setahun selepas kematian wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh, seorang tokoh terkenal di dunia Arab, beberapa upacara peringatan dirancang di Tebing Barat pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Wartawan itu ditembak mati semasa operasi tentera Israel di Jenin di utara Tebing Barat. Untuk menandakan ulang tahun itu, majlis perbandaran Ramallah merancang meletakkan batu asas di muzium yang didedikasikan buat Abu Akleh pada 3.30 petang (1230 GMT).

Selain itu, Universiti Bir Zeit, dekat Ramallah, akan mengumumkan tiga pemenang anugerah media yang dinamakan sempena Abu Akleh.

Kematian wartawan Palestin, yang juga warga Amerika Syarikat itu mencetuskan bantahan antarabangsa.

Siasatan tentera Israel merumuskan tembakan itu tidak boleh dikaitkan dengan jelas, tetapi "kemungkinan besar" tembakan tidak sengaja dilepaskan oleh seorang askar Israel.

Terdapat juga pertempuran dengan pejuang Palestin semasa operasi itu. Namun tiada siasatan jenayah dilancarkan.

Televisyen Al-Jazeera memfailkan kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague pada Disember.

Ia menuduh Israel menyasarkan tembakan ke arah wartawan dan rakan-rakannya. Pelaku perlu bertanggungjawab dan dibawa ke muka pengadilan, kata stesen penyiaran itu.

AS juga menyiasat kes itu namun gagal mencapai kesimpulan jelas mengenai peluru yang membunuh Abu Akleh. - Bernama