Tular mesej daftar vaksin di klinik swasta

Mesej yang tular di aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada orang ramai untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin di klinik swasta.
Mesej yang tular di aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada orang ramai untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin di klinik swasta.
A
A
A

IPOH - Orang ramai diminta berhati-hati dengan mesej tular menerusi aplikasi Whatsapp kononnya pendaftaran vaksin Sinovac boleh dibuat dan dipercepatkan penerimaan suntikan di sebuah klinik swasta di Ipoh.

Ketua Biro Khidmat Awam dan Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, mesej tersebut menyarankan orang ramai yang sudah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera boleh ke klinik swasta berkenaan untuk mendapatkan giliran vaksinasi segera.

Menurutnya, selepas dirujuk kepada syarikat ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang dilantik sebagai pelaksana bagi penyertaan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), jelas menunjukkan bahawa mesej tersebut palsu.

"Kita menerima banyak panggilan daripada orang awam bertanyakan mengenai mesej tersebut malah ada yang ingin berdaftar dengan klinik swasta ini untuk dapatkan vaksin Sinovac bagi suntikan dos kedua, sedangkan individu terbabit telah terima suntikan dos pertama vaksin Pfizer.

"Perkara ini telah mengelirukan masyarakat mengenai kaedah penerimaan vaksin yang sedang dijalankan sekarang oleh kerajaan.

"Keadaan ini perlu dipandang serius oleh kerajaan bagi mengelak perkara sama berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu itu juga menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat yang percaya dan menyerbu klinik tersebut untuk mendaftar bagi mempercepatkan proses penerimaan vaksin.

Guo Nan dalam pada itu meminta Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius mengenai perkara tersebut dan segera memberi pencerahan terhadap sebarang mesej yang tular supaya masyarakat tidak terkeliru berkaitan proses vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa pendaftaran vaksin hanya melalui tiga saluran iaitu aplikasi MySejahtera, website Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) www.vaksincovid.gov.my/daftar/ dan talian hotline 1800-888-828 sahaja buat masa ini.