Bursa Malaysia dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam keadaan berhati-hati dan pada kecenderungan negatif minggu depan
Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam keadaan berhati-hati dan pada kecenderungan negatif minggu depan
A
A
A

BURSA Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam keadaan berhati-hati dan pada kecenderungan negatif minggu depan, dengan indeks penanda aras bergerak di antara 1,380 dengan 1,400 berikutan cabaran luaran, kata penganalisis.

Pengarah Urusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, sentimen bertambah baik minggu ini apabila pengurangan kadar faedah oleh People's Bank of China dan harga minyak mentah yang lebih tinggi membantu menstabilkan pasaran tempatan.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, pasaran mungkin berada dalam keadaan yang lebih lemah minggu depan kerana keseluruhan pasaran menjadi berhati-hati selepas beberapa bank pusat utama bersikap cenderung kepada kadar faedah lebih tinggi dalam usaha meredakan inflasi teras yang tidak berubah.

"Ketika kita menghampiri beberapa minggu untuk berakhir, konsensus sedang dibuat bahawa sukar untuk mengganggu inflasi teras ekonomi Barat tanpa melakukan sedikit kerosakan ekonomi yang boleh membebankan negara pengeksport komoditi seperti Malaysia.

"Jadi, sementara FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah menguji 1,400 tahap psikologi minggu ini, ia mungkin menguji paras terendah julat seterusnya kira-kira 1,380 minggu depan, terutama jika pasaran mula berfikir kita semakin menghampiri kemelesetan pasaran maju," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dalam menghadapi cabaran pertumbuhan yang berterusan dan semakin hebat disebabkan dasar monetari global yang lebih ketat, pasaran Malaysia dijangka meneruskan dagangan pada kecenderungan yang lebih lemah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 2.28 mata untuk menamatkan minggu pada 1,390.89 berbanding 1,388.61 seminggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 15.44 mata kepada 10,232.18, Indeks FBMT 100 susut 10.64 mata kepada 9,933.72, Indeks FBM Emas Syariah kurang 96.03 mata kepada 10,515.75,

Indeks FBM 70 merosot 128.52 mata kepada 13,456.19, dan Indeks FBM ACE menguncup 82.89 mata kepada 5,042.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 271.53 mata kepada 15,444.85, Indeks Perladangan meningkat 69.90 mata kepada 6,718.44, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.92 mata kepada 158.87, dan Indeks Tenaga turun 8.81 mata kepada 785.08.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.54 bilion unit bernilai RM8.25 bilion daripada 15.97 bilion unit bernilai RM10.49 bilion pada minggu dagangan sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.09 bilion saham bernilai RM7.06 bilion berbanding 10.74 bilion saham bernilai RM9.24 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran lebih rendah kepada 1.47 bilion unit bernilai RM194.74 juta berbanding 1.76 bilion unit bernilai RM277.45 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.97 bilion saham bernilai RM989.19 juta daripada 3.45 bilion saham bernilai RM971.82 juta minggu lepas. - Bernama