Pas lebih berhati-hati, elak langgar peraturan PRN

Ahmad Samsuri (kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran kad laporan prestasi dan buku kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.
Ahmad Samsuri (kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran kad laporan prestasi dan buku kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas akan lebih berhati-hati sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi supaya setiap tindakan tidak melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia berikutan kes melibatkan beberapa Parlimen yang ditandingi calon parti itu di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Jelas beliau, Pas Terengganu juga akan meneruskan kempen pada PRN dengan mengamalkan prinsip budaya politik secara matang dan sejahtera.

"Saya rasa itu sudah termasuk dalam agenda kami supaya lebih berhati-hati (sepanjang tempoh berkempen PRN nanti).

"Kita akur untuk tidak melakukan apa-apa (yang berisiko boleh dikaitkan) dengan kesalahan peraturan-peraturan pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran kad laporan prestasi dan buku kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kerajaan negeri juga tiada program berkaitan agihan wang kepada rakyat sepanjang Ogos ini.

"Seingat saya tiada program-program bantuan lain dalam musim pilihan raya nanti, hanya ada program sempena Awal Muharram sahaja," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang merupakan calon Pas bagi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 susulan petisyen difailkan BN pada 3 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, bagi petisyen Parlimen Marang pula Pas mengekalkan kemenangan parti itu yang dimenangi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

SPR pada Rabu mengumumkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan serentak pada 12 Ogos depan, sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.