Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan susulan pelabur memantau perkembangan terbaharu prestasi ekonomi global. - Gambar hiasan
Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan susulan pelabur memantau perkembangan terbaharu prestasi ekonomi global. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan susulan pelabur memantau perkembangan terbaharu prestasi ekonomi global.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata, mata wang tempatan dijangka didagangkan dalam julat antara 4.66 hingga 4.68 berbanding dolar AS minggu depan.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata, pertumbuhan dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pasaran buruh sebahagian besarnya kekal berdaya tahan walaupun terdapat petunjuk tentatif yang lemah manakala jangkaan teras dan inflasi kekal tinggi walaupun inflasi menyederhana.

Sehubungan itu, Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyemak naik indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras (PCE) untuk 2023, mendorong dolar AS menjadi lebih kukuh.

Daripada segi domestik, Hong Leong berkata, penyata dasar monetari terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang kurang menyokong kadar faedah tinggi dan pendirian dasar yang sedikit akomodatif menunjukkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa menghampiri paras neutral.

"Walaupun masih ada ruang untuk kenaikan 25 mata asas, pertumbuhan yang sederhana dan prospek inflasi akan menyokong pandangan kami untuk OPR kekal tidak berubah pada tiga peratus bagi baki tahun 2023, mengehadkan keuntungan berlebihan dalam ringgit,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit melonjak berbanding dolar US kepada 4.6635/6705 berbanding 4.6760/6805 minggu sebelumnya.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2220/2273 daripada 3.2645/2680 sebelumnya, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8923/9012 daripada 5.9469/9527 dan bertambah berbanding euro kepada 5.0571/0647 daripada 5.0781/0830.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Nilai ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 309.5/310.1 daripada 311.7/312.2 sebelumnya, melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.4376/4431 daripada 3.4568/4604 minggu sebelumnya dan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1529/1786 daripada 13.2765/2950 minggu lepas.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding peso Filipina kepada 8.44/8.46 daripada 8.38/8.40 pada Jumaat lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit mata wang paling lemah di Asia tahun ini

Campur tangan BNM bantu pacu ringgit biarpun dolar AS meningkat