Jumlah mangsa banjir Sabah meningkat, Sarawak menurun

Sebuah rumah yang turut terjejas dengan banjir di Kampung Lama Tenom ketika tinjauan Pada Sabtu. - Foto Bernama
Sebuah rumah yang turut terjejas dengan banjir di Kampung Lama Tenom ketika tinjauan Pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa banjir yang dipindahkan di Sabah menunjukkan peningkatan dengan seramai 5,037 mangsa direkodkan setakat 4 petang ini berbanding 4,832 orang pagi tadi, manakala Sarawak pula menurun kepada 233 mangsa daripada 442 mangsa pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan kesemua mangsa di dua daerah iaitu Tenom dan Beaufort masih ditempatkan di 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan secara berperingkat sejak Khamis lepas.

“Tenom masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 4,427 orang membabitkan 1,256 keluarga di 36 PPS manakala Beaufort seramai 610 mangsa dan ditempatkan di empat PPS.

Selain itu, terdapat satu kes kematian akibat lemas dilaporkan di Beaufort, namun ia dalam proses siasatan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

JBPN Sarawak dalam satu kenyataan pula memaklumkan keadaan banjir yang semakin pulih membolehkan tiga PPS yang menempatkan mangsa banjir di Daerah Lawas dibenarkan ditutup petang ini.

“Tujuh PPS lagi masih dibuka dengan lima di Daerah Limbang dan dua di Daerah Telang Usan, Miri, berbanding 10 PPS pagi tadi,” kata kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: