KPM diminta perjelas hala tuju TV Pendidikan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan hala tuju TV Pendidikan yang diwujudkan kementerian tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama lapan orang ahli Parlimen Pembangkang, antara perkara dibangkitkan ialah mengenai status terkini kandungan bagi rancangan TV pendidikan bernilai RM1.9 juta yang dibangunkan syarikat swasta.

“Dalam jawapannya, Menteri Kanan Pendidikan telah mengatakan bahawa tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021 berikutan kegagalan syarikat berkenaan menyiapkannya dalam tempoh tersebut.

“Persoalannya, apakah status pembuatan kandungan tersebut pada waktu ini? Apakah kesemua 800 kandungan tersebut telah selesai? Ataupun terpaksa ditangguhkan lagi? Jika benar, berapa lama kerajaan membenarkan penangguhan tersebut?

“Jika ia ditangguhkan lagi, apakah tindakan KPM atas kegagalan tersebut? Apakah mereka diberikan penalti?” soal kenyataan tersebut pada Ahad.

Kenyataan bersama itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik, selain Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara atau Amanah).

Turut bersama ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu atau UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau MUDA), Datuk Amiruddin Hamzah (Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang) dan Ahmad Hassan (Parti Warisan Sabah atau Warisan).

Dalam kenyataan sama, mereka turut mempersoalkan mengenai jumlah pembayaran yang telah diberikan kepada syarikat penyedia kandungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut mengajukan persoalan mengenai tindakan KPM memberikan kontrak penyiaran bahan pendidikan kepada saluran DidikTV yang dimiliki oleh syarikat media swasta.

Jelas mereka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini pernah memberi laluan kepada TV Pendidikan bagi siaran secara percuma.

“Justeru, kami meminta KPM menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka tidak memilih RTM sebagai saluran TV Pendidikan sedangkan kaedah ini percuma dan mempunyai fasiliti yang cukup?

“Apakah rasional dan keuntungan bagi rakyat dan KPM untuk membuat bayaran siaran kepada DidikTV ketika saat kerajaan boleh menggunakan fasiliti siaran TV kerajaan pada saat darurat ini?

“Berapa puluh juta nilai kontrak rundingan terus yang telah diberikan kepada Media Prima Berhad? Apakah benar ia melibatkan peruntukan sebanyak RM70 juta hanya bagi tahun 2021?” ujar kenyataan itu lagi.

Tambah mereka, KPM juga perlu menjelaskan mengenai status hak cipta program video siaran yang dihasilkan DidikTV secara siaran langsung bersama guru-guru KPM ini diletakkan di platform digital Tonton milik Media Prima.

Ini kerana, katanya, program video sedemikian didapati masih tidak kelihatan di platform pembelajaran digital KPM seperti Delima dan EduwebTV.

“Bukankah bahan video pembelajaran dan pengajaran (PdP) hasil siaran DidikTV dan diusahakan oleh guru-guru dibayar oleh KPM? Kenapa video ini diletakkan di Tonton dan bukannya di Pelantar Delima dan Portal EduwebTV?

“Persoalannya, bagaimanakah murid-murid boleh mengakses bahan video PdP yang dihasilkan oleh DidikTV dan pembekalan video TV Pendidikan yang sepatutnya telah selesai dihasilkan oleh Radius One Sdn Bhd meliputi sebanyak 800 video. Sedangkan video-video ini masih belum dimuat naik di platform pembelajaran Delima dan Portal EduwebTV?

“Berapakah bilangan penonton DidikTV sehingga kini? Apakah berbaloi puluhan juta ringgit duit rakyat dilaburkan berbanding bilangan penggunanya?” soal mereka.