X

Kindly register in order to view this article
!

1,000 penuntut UTM jalani saringan Covid-19

Sebahagian penuntut UTM Johor Bahru menjalani ujian saringan Covid-19 fasa pertama ekoran PKPD yang dilaksanakan di universiti itu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 1,000 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini menjalani pemeriksaan ujian saringan Covid-19.

UTM dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, saringan secara besar-besaran itu dilakukan pada Khamis dan Jumaat manakala keputusannya akan diketahui dalam minggu ini.

"Saringan bertujuan mengesan gejala awal Covid-19 dalam kalangan warga kampus yang sedang menjalani kuarantin ketika ini," kata kenyataan itu.

UTM ketika ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berkuatkuasa 21 Mei 2021 hingga 3 Jun depan berikutan penularan kes jangkitan Covid-19 dalam kampus UTM Johor Bahru.

Tambah kenyataan itu, sepanjang pelaksanaan PKPD, operasi di klinik universiti ditutup bagi membolehkan keutamaan diberi kepada perkhidmatan klinik bergerak membabitkan semua kolej kediaman dalam kawasan kampus.

"Pemeriksaan juga bertujuan merawat penuntut yang mempunyai penyakit serta kecemasan lain," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini klinik bergerak hanya beroperasi di tiga kolej kediaman sahaja namun susulan PKPD, klinik itu akan berada di semua kolej kediaman mengikut jadual harian yang ditetapkan.

"Sesi pemeriksaan besar-besaran akan diteruskan bagi fasa kedua pada 28 dan 29 Mei nanti," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 yang dilancarkan UTM susulan PKPD kini hampir RM100,000.

Menurut UTM, wang tersebut hasil sumbangan warga kampus dan masyarakat luar.

"Usaha berkenaan turut digerakkan melalui inisiatif 'Drive UTM Prihatin' bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan bantuan kepada warga UTM yang terkesan dalam tempoh pelaksanaan PKPD itu.

"Wang yang terkumpul akan digunakan untuk membeli keperluan harian seperti makanan kering dan barangan penjagaan diri," kata kenyataan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!