Covid-19: Malaysia catat hampir 7,000 kes baharu

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia mencatat 6,976 kes baharu Covid-19 pada Sabtu iaitu yang tertinggi sejak negara dilanda wabak itu pada Januari tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia merekodkan angka harian tertinggi ialah pada 20 Mei lalu membabitkan sebanyak 6,806 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 512,091 kes.

Menurut beliau, Selangor kekal mencatat bilangan jangkitan baharu yang tertinggi dengan 2,235 kes diikuti diikuti Sarawak (663) dan Kelantan (626).

“Selain itu, negeri Johor (549), Kuala Lumpur (447), Negeri Sembilan (434), Kedah (422), Pulau Pinang (372), Perak (279), Terengganu (266), Pahang (263), Melaka (209) dan Sabah (136).

“Bagi Putrajaya pula dengan 30 kes manakala Labuan (37) dan Perlis (lapan),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau,terdapat lima kes import dan 6,971 kes penularan dalam negara membabitkan 6,324 rakyat tempatan dan 647 warga asing.

“Seramai 681 pesakit Covid-19 diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 361 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes kematian yang dilaporkan KKM ialah sebanyak 49 melibatkan 48 rakyat tempatan dan seorang warga asing menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 adalah 2,248 kes.

“Ini melibatkan 14 kes di Selangor, lapan kes di Johor, masing-masing enam kes di Pulau Pinang dan Melaka, empat kes di Kedah, tiga kes di Sarawak.

“Selain itu, Sabah, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing dua, manakala di Kelantan dan Perlis pula masing-masing satu kes,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes pulih Dr Noor Hisham berkata, 3,587 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif 452,821.

Beliau berkata, KKM mengenal pasti 24 kluster baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,025.

"Terdapat sembilan kluster tempat kerja, enam kluster keagamaan, lapan kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi dilaporkan," katanya.

Tambahnya, jumlah kluster yang tamat adalah 1,469 manakala 556 kluster masih aktif.