Cadang buka PKRC baharu di kawasan berisiko

Gambar kecil: Datuk Seri Jalaluddin Alias
Gambar kecil: Datuk Seri Jalaluddin Alias
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias mencadangkan agar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu dibuka di kawasan-kawasan dijangka berlaku lonjakan kes baharu dalam jangka masa pendek ini.

Beliau turut mencadangkan agar permohonan untuk menjadi sukarelawan dibuka kepada mereka yang mempunyai kelayakan untuk membantu di PKRC baharu yang dibuka jika wujud masalah kekurangan tenaga frontliners di kawasan-kawasan berkenaan.

"Mereka ini mungkin boleh terdiri daripada kakitangan hospital swasta, graduan lepasan perubatan yang masih belum bekerja atau sesiapa sahaja yang dirasakan layak dan boleh membantu.

"Beri mereka sedikit elaun harian. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu mereka yang mungkin masih menganggur.

"Beri insentif galakan berbentuk potongan cukai kepada mana-mana hospital dan klinik swasta yang meminjamkan kakitangan mereka untuk membantu di PKRC," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu mencadangkan agar insentif galakan turut diberikan kepada mana-mana pemilik premis atau gudang bersesuaian yang secara sukarela hendak memberikan tempat mereka bagi dijadikan PKRC sementara.

"Jika tiada pilihan kawasan yang bersesuaian untuk dibuat PKRC, bina Hospital Medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di kawasan-kawasan yang kes positif baharu sudah terlalu banyak atau berdepan dengan ancaman 'super spreader'.

"Kita bukan mengharapkan perkara yang buruk, tetapi kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi keadaan yang buruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan trend kes baharu ketika ini, sudah pasti hospital-hospital sedia ada tidak akan mampu menampung kemasukan yang tinggi.

"Saya difahamkan bahawa setakat 21 Mei sebanyak 119 PKRC Covid-19 telah dibuka diseluruh negara. Bilangan katil tersedia pula adalah sebanyak 25,447 buah katil. Jika dilihat kepada peratusan keseluruhan di peringkat nasional, peratusan penggunaan katil di PKRC adalah 53 peratus.

"Secara keseluruhannya terdapat 47 buah PKRC yang kini telah mencapai kapasiti penggunaan katil 60 peratus keatas. Dengan kes-kes baharu yang melebihi 6000 kes untuk beberapa hari ini, pastinya banyak PKRC tidak mampu menampung kemasukan kes-kes baharu," katanya.

Tambahnya, PKRC yang terlalu padat juga akan menyebabkan barisan hadapan mudah kepenatan dan akan 'burn out'.

"Jika hospital penuh, PKRC di kawasan tersebut penuh, saya juga tidak rasa kuarantin secara kendiri di rumah adalah satu pilihan yang baik," katanya.