Polis rampas telefon Syed Saddiq untuk siasatan

Syed Saddiq hadir ke IPD Dang Wangi untuk siasatan berhubung kenyataannya di media sosial mengenai kematian tahanan, A Ganapathy.
Syed Saddiq hadir ke IPD Dang Wangi untuk siasatan berhubung kenyataannya di media sosial mengenai kematian tahanan, A Ganapathy.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merampas telefon bimbit milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah untuk siasatan berhubung dakwaan ahli politik itu mengenai kematian tahanan, A Ganapathy.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, telefon bimbit itu akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.

"Biar polis jalankan siasatan dahulu. Kita juga telah merekod keterangan Syed Saddiq dan beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 10 pagi hari ini (Sabtu)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 29 April lalu susulan rakaman video di media sosial yang dimuat naik oleh Syed Saddiq berkenaan isu terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu, Syed Saddiq yang ditemui pemberita di luar IPD Dang Wangi selepas selesai dirakam keterangan mempersoalkan tindakan polis merampas telefon bimbitnya.

Menurut laporan Astro Awani, Syed Saddiq berkata, tindakan itu dilakukan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat akses akaun Instagram dan TikTok kepunyaannya.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada masa sama mendakwa tindakan yang dikenakan terhadapnya itu bermotifkan politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataannya sebelum ini, Syed Saddiq memberitahu beliau sedia memberi kerjasama bagi membantu siasatan polis berkenaan video yang dimuat naiknya mengenai kematian tahanan reman, A Ganapathy.

Ganapathy disahkan meninggal dunia 18 April lalu selepas hampir sebulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, Selangor.

Ganapathy sebelum itu ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN Kenapa rampas telefon bimbit saya: Syed Saddiq