'Kapalnya tak sampai-sampai', Syed Saddiq persoal siasatan kes LCS

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan persoalan berhubung siasatan kapal tempur pesisir (LCS) yang tiada sebarang perkembangan terbaru selain kos keseluruhan projek berkenaan meningkat kepada RM11.2 bilion.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, isu tersebut perlu diperjelaskan kepada rakyat kerana ia melibatkan soal cukai mereka yang telah dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara.

“Berbilion-bilion duit cukai rakyat telah dibelanjakan untuknya. Apa yang lebih menjengkelkan, jumlah asal kapal itu adalah sebanyak enam kini berkurang satu menjadi lima.

“Kos naik, barang berkurang, kapalnya tidak sampai-sampai. Pelik bin ajaib,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Syed Saddiq menambah, kapal itu sepatutnya telah pun diterima berdasarkan perancangan asal, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Justeru, beliau menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi respons mengenai hal berkenaan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tidak gentar dan menonjolkan sikap berani kerana benar apatah lagi isu yang berlaku melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Muar akan membawa usul tergempar untuk membahaskan isu ini. Biarlah kita mencari kebenaran. Kebenaran wajib menang," katanya.