PKPD: Elak beli barang berlebihan

Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
A
A
A

IPOH - Penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim terlibat dinasihatkan supaya tidak membeli barangan keperluan secara berlebihan sepanjang tempoh tersebut.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

Menurutnya, premis-premis peruncitan seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, restoran, gerai makanan dan lain-lain masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19, rakyat di Perak dinasihatkan supaya hanya keluar jika terdapat keperluan untuk membeli barangan keperluan, mengelakkan pembelian berlebihan serta mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Pengguna juga disarankan supaya menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barang keperluan dan makanan ketika tempoh PKPD ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, jika terdapat isu berkaitan kekurangan bekalan makanan di kawasan masing-masing, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak KPDNHEP Perak untuk tindakan susulan melalui saluran yang ditetapkan.

Pada 21 Mei, Sinar Harian melaporkan beberapa pasar raya di sekitar bandar raya Ipoh diserbu orang ramai bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan menjelang PKPD yang dilaksanakan bermula Sabtu.

KPDNHEP Perak dalam satu kenyataan menasihati orang ramai supaya merancang pembelian barangan berdasarkan kepada keperluan sebenar.

Artikel Berkaitan:

[Artikel berkaitan: PKPD: Orang ramai serbu pasar raya] https://www.sinarharian.com.my/article/139673/BERITA/Nasional/PKPD-Orang-ramai-serbu-pasar-raya