Bayar sahaja denda...

No Image Caption
A
A
A

MEMATUHI undang-undang merupakan satu kewajipan kita sebagai rakyat. Ia juga melambangkan kita mempunyai moral yang betul.

Mutakhir ini banyak cerita tentang mereka yang mempunyai banyak wang mengikut definisi netizen sebagai orang kayangan yang melanggar undang-undang terutama melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Dan apabila mereka ini melanggarnya seperti yang saya beritahu di atas, ia merupakan satu kesalahan moral juga. Boleh sahaja dianggap tidak bermoral. Ataupun mereka ini tidak berminat untuk menjadi orang yang bermoral.

Namun, yang membuatkan kita hampa apabila ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dengan senang hati tanpa merasa bersalah, melanggar undang-undang yang disarankan kerajaan terutama pematuhan SOP ketika masalah pendemik masih berleluasa.

Saya tertanya-tanya juga di manakah silapnya? Adakah hukuman yang dikenakan masih tidak setimpal? Atau tidak berat? Ataupun mungkin hanya berat buat rakyat marhaen yang bertungkus-lumus mematuhi SOP sahaja, tetapi dipandang ringan dan sebelah mata oleh mereka yang dalam golongan kayangan?

Yalah, apa nak dihairankan kalau perlu membayar denda sahaja. Denda ribu-ribu mungkin bagi mereka yang berduit seperti di celah gigi sahaja. Tiada masalah buat mereka ini, bak kata pepatah Melayu lama, ‘mudah jua pada yang ada, sukar jua pada yang tidak’.

Bagi orang miskin pula yang terdiri rakyat marhaen, maka bak kata pepatah Melayu lama lagi seperti ‘duri sebatang terbuang’. Apabila melanggar undang-undang terpaksa berhempas pulas mencari duit untuk membayarnya pula.

Ada orang sudah beberapa kali juga melanggar SOP, namun mereka masih tidak merasa bersalah. Hukuman yang sekadar dibayar dengan duit sahaja, mampu sahaja dibayar oleh mereka.

Artikel Berkaitan:

Ada orang-orang politik yang katanya melanggar SOP juga. Seperti biasa mereka membayar dengan bergambar pula ketika membayar denda dan dimuat naik dalam media sosial untuk memberitahu mereka telah mengaku salah dan telah menjalankan tanggungjawab dengan membayar denda.

Gambaran ini seolah-olah seperti mempersendakan undang-undang juga. Sepatutnya tidak berlaku perkara begini. Apabila diarahkan mematuhi SOP demi kebaikan semua, maka elok ambil cakna.

Hukuman

Jadi, adakah hukuman yang dikenakan tidak dapat memberi keinsafan kepada mereka yang bersalah melanggar SOP ini? Elok juga kita berfikir bersama-sama untuk menangani masalah ini yang mungkin pihak berwajib dapat mengambil langkah tegas.

“Sepatutnya mereka dikenakan hukuman lebih berat lagi terutama orang-orang kayangan dan yang langgar SOP banyak kali ni,” kata Pak Din aktivis ketika saya terserempak dengan beliau di kedai dobi layan diri. Tangannya laju memasukkan baju ke dalam mesin kering baju.

“Kau tengoklah apa sudah jadi. Denda bagi mereka tidak ada makna. Elok mereka ini tidak dikenakan hukuman denda. Tapi masukkan dalam penjara dengan kerja berat selama sebulan,” katanya Pak Din lagi mengetap gigi sambil menyumbat baju ke dalam mesin kering 10kg.

“Pak Din, baju banyak tu. Tak muat. Elok masukkan dalam mesin kering 13kg tu. Nanti tak kering sepenuhnya baju,” kata saya menegurnya.

“Ya ka? Sebelum ini ok sahaja aku pakai mesin 10kg ni,” jawab Pak Din tidak mahu beralah.

“Pak cik rasa apa yang kamu cakap itu betul juga. Mereka ada duit. Orang yang tidak ada duit pula, molek jika dapat bayar denda dengan ansuran mudah. Kalau denda RM5,000, boleh bayar denda RM100 selama 50 bulan ok tak? Sampuk seorang pak cik yang sedang menukar duit syiling.

“Macam beli peti ais pula ya bayar dengan ansuran mudah? Boleh ke bayar ansur? Buat rayuan bolehlah,” jawab Pak Din.

“Saya rasa molek kalau orang kayangan ni dikenakan sahaja hukuman denda buat kerja khidmat masyarakat,” kata saya.

“Kerja apa tu? tanya pak cik tu lagi.

“Bantu jaga sekatan jalan raya dan bantu barisan hadapan jaga pesakit Covid-19. Baru mereka insaf kot,” kata saya bersungguh-sungguh.

Mereka berdua angguk-angguk sahaja. Entah setuju atau tidak.

“Ana rasa elok sebat sahaja 100 kali,” kata seorang lagi pak cik yang berserban dan berjubah yang tiba-tiba manyampuk setelah lama berdiam diri.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau mrfaisalmuhamad@gmail.com