[VIDEO] Kes Mohd Shuhaily: Peguam dua anggota polis antara dilarang buat kenyataan

A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Peguam yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, antara pihak yang dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu di luar mahkamah.

Larangan berkenaan turut melibatkan peguam daripada Tetuan Kamal Hisham & Associates, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin yang bertindak mewakili kedua-dua anggota polis terbabit sebagai peguam pemerhati.

Selain mereka, perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ itu turut terpakai terhadap pihak pendakwaan, Mohd Shuhaily selaku orang kena saman (OKS), barisan peguam bela serta dua anggota polis berkenaan sebagai pengadu.

Majistret, Khairatul Animah Jelani memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan pihak pembelaan terhadap pegawai kanan polis berusia 54 tahun itu.

Semasa sebutan kes mendatangkan kecederaan, beliau berkata, mahkamah telah meneliti permohonan, hujahan kedua-dua pihak, afidavit serta ekshibit yang dikemukakan.

Beliau turut mengambil kira pendirian pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan tersebut sebelum membenarkan perintah berkenaan dikeluarkan terhadap pihak-pihak dinamakan dalam notis usul.

Ketika hujahan, peguam, Kitson Foong yang mewakili Mohd Shuhaily memaklumkan, pihak pembelaan memfailkan notis usul bagi mendapatkan perintah berkenaan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Beliau berkata, larangan itu hanya melibatkan lima pihak yang dinamakan dan tidak terpakai kepada orang awam mahupun pihak media.

Menurutnya, permohonan itu bertujuan mengelakkan sebarang kenyataan di luar mahkamah yang boleh menjejaskan prosiding perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekatan yang dipohon merangkumi lima perkara iaitu merit pertuduhan, keterangan perubatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kebolehpercayaan saksi, kelakuan atau sikap OKS serta sebarang kenyataan yang menggambarkan OKS bersalah atau tidak bersalah.

Bagaimanapun, Kitson berkata, perintah itu tidak menghalang media daripada membuat laporan yang adil dan tepat mengenai prosiding di mahkamah terbuka.

Katanya, ia juga tidak menyekat mana-mana pihak daripada berkomunikasi dengan peguam masing-masing.

“Perintah ini mempunyai had masa dan akan luput sebaik sahaja kes selesai dibicarakan.

“Permohonan sekatan ini bukan bermaksud mahu menghalang pihak lawan sahaja daripada membuat kenyataan awam, sebaliknya OKS dan barisan peguam sendiri turut terikat dengan larangan sama,” katanya.

Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap kepada pemberita selepas sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Mahkamah Majistret hari ini. Selain Rosal, Mohd Shuhaily turut diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Kitson Foong.
Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap kepada pemberita selepas sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Mahkamah Majistret hari ini. Selain Rosal, Mohd Shuhaily turut diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Kitson Foong.

Selain Kitson, barisan pembelaan turut diwakili Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.

Beliau berpandangan, mahkamah perlu memastikan tiada sebarang perkara yang boleh menjejaskan perjalanan perbicaraan kes.

Shahrizat turut menegaskan pihak pendakwaan tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mempersoalkan atau memprejudiskan prosiding berkenaan.

Beliau hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara jam 1.27 hingga 1.35 petang pada 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat memohon supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama atas alasan membabitkan OKS dan saksi yang sama.

Permohonan itu tidak dibantah pihak pembelaan sebelum dibenarkan mahkamah yang menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!