MITC jadi PKRC institusi awam Jumaat ini

Sulaiman (tengah) ketika melihat persiapan pembukaan PKRC institusi awam di negeri ini di MITC Ayer Keroh pada Rabu.
Sulaiman (tengah) ketika melihat persiapan pembukaan PKRC institusi awam di negeri ini di MITC Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) membabitkan institusi awam pertama di negeri ini akan mula beroperasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, PKRC yang akan menempatkan pesakit positif Covid-19 tahap satu dan dua itu diaktifkan susulan peningkatan kes mendadak dan pertambahan pesakit di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.

Menurut beliau, pembukaan itu akan menjadikan ia PKRC keenam di negeri ini selepas Asrama Jururawat Hospital Melaka; Penjara Sungai Udang, Penjara Koresional Jasin (PKJ); Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo dan PKRC Henry Gurney.

"Pusat berkenaan itu akan menampung jumlah pesakit bergejala ringan dari negeri ini sahaja dengan penyediaan katil sebanyak 1,000 hingga 2,000 unit.

"Kerja-kerja persiapan PKRC giat dilaksanakan sebelum menerima pesakit pada 21 Mei ini," katanya ketika sidang akhbar selepas melihat persiapan PKRC di MITC Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, PKRC ini akan menggunakan ruang Dewan A, B dan C yang boleh menempatkan kapasiti maksimum seramai 1,200 pesakit selain kelengkapan lapan tandas di setiap dewan.

Beliau berkata, jumlah kapasiti katil di Hospital Melaka bagi rawatan pesakit Covid-19 juga telah mencecah 63 peratus, manakala jumlah katil bagi pesakit sama di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan mencapai kapasiti maksimum.

Artikel Berkaitan:

"Jadi 500 petugas barisan hadapan termasuk 200 daripadanya terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditempatkan di PKRC itu.

"Sementara 285 pesakit yang sedang menerima rawatan di MAEPS Serdang, Selangor dikekalkan kerana pusat ini akan menerima pesakit baharu sahaja," katanya.

Ditanya mengenai situasi rumah ibadat bagi aktiviti keagamaan, Sulaiman berkata, beliau akan memantau data bermula 1Syawal lalu sama ada terdapat kes Covid-19 berkaitan dengan aktiviti keagamaan atau sebaliknya.

"Jika berlaku peningkatan kes dalam tempoh itu kita bersedia mengurangkan bilangan rumah ibadat yang beroperasi termasuk surau dan masjid bagi mengekang penularan kes di rumah ibadat," katanya.